Majikan perlu bawa pekerja guna pengangkutan bersesuaian - KSM

Bernama
Jun 14, 2021 05:45 MYT
Polis menahan sebuah lori yang membawa 48 pekerja yang positif COVID-19 dan memakai gelang merah jambu di Sungai Lalang, Bedong pada Ahad. -Foto Polis daerah Kuala Muda
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengingatkan majikan yang perlu membawa pekerja mereka untuk tujuan saringan atau kuarantin supaya menggunakan pengangkutan yang sesuai bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan orang awam.
Sehubungan itu agensi KSM, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan meneliti insiden itu mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
"KSM menggesa para majikan untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam membendung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja terutamanya dalam tempoh mencabar ini," menurut KSM dalam satu kenyataan sambil menegaskan ia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melanggar undang-undang.
Dilaporkan polis menahan sebuah lori yang membawa 48 pekerja yang positif COVID-19 dan memakai gelang merah jambu di Sungai Lalang, Bedong pada Ahad selepas tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah dilaporkan berkata 48 lelaki terbabit merupakan antara 135 pekerja kilang memproses ayam di Sungai Lalang, yang disahkan positif COVID-19 dan lori berkenaan dalam perjalanan membawa pulang 48 pekerja terbabit ke asrama selepas membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.
Sebelum itu, 87 rakan mereka telah dibawa pulang dari PKD Kuala Muda.
Menurut Adzli, pemandu lori berkenaan disaman kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana menggunakan Lesen Kenderaan Memandu (LKM) bagi tujuan lain.
Pihak pengurusan kilang terbabit pula akan disiasat mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa penyakit yang berbahaya pada nyawa, katanya.
-- BERNAMA
#Lori #majikan #Pekerja #COVID-19 #Kementerian Sumber Manusia #penyakit berjangkit #guna pengangkutan yang sesuai #Adzli Abu Shah
;