Majikan perlu awasi pekerja, walaupun bekerja dari rumah
Farhan Hakimi
Jun 1, 2024 13:20 MYT
Jun 1, 2024 13:20 MYT
KUALA LUMPUR: Majikan perlu memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa diawasi meskipun mereka bekerja dari rumah (WFH).
Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam Safety Management Academy, Mohd Soffian Osman berkata, perkara ini selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang mula berkuat kuasa hari ini (1 Jun).
Katanya, akta tersebut sebenarnya merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan pekerja, bagi mereka yang bekerja di luar kawasan biasa sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan.
"Majikan wajib mengambil kira risiko pekerja, termasuk di luar pejabat dan di rumah. Namun, pertikaian timbul dari segi pembuktian itu. Ini saya percaya akan diperhalusi oleh mereka yang bertanggungjawab.
"Contohnya, sekiranya kemalangan berlaku di rumah, siasatan akan dijalankan untuk memastikan sama ada kemalangan atau kecederaan itu berlaku akibat daripada pekerjaan mereka, ataupun kecederaan domestik," ujarnya ketika berkongsi pandangan dalam program AWANI Pagi hari ini.
Mohd Soffian turut menyeru semua pihak dalam apa juga sektor pekerjaan untuk mengambil cakna tentang akta tersebut dan tidak berlepas tangan.
Sebelum ini Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong mengumumkan pindaan terhadap akta tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Jun, bertujuan meningkatkan lagi tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di seluruh negara.
Akta yang diluluskan oleh Parlimen pada 16 Mac 2022 itu antara lain mewajibkan majikan menganalisis risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan.
Sekiranya gagal dipatuhi, majikan boleh dikenakan penalti maksimum RM500,000, 10 kali ganda daripada jumlah denda sebelum ini iaitu RM50,000.