Majikan makin celik terhadap kepentingan tingkat kemahiran pekerja

Haikal Raman
Mei 24, 2023 14:20 MYT
NTW 2023 menyasarkan penyertaan sebanyak 10,000 kursus secara percuma melibatkan 125,000 peserta dan 5,000 pengajar. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesedaran para majikan di Malaysia terhadap kepentingan pembangunan bakat dan kemahiran pekerja kini semakin meningkat, khususnya selepas perluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 (Akta PSMB 2001) pada tahun 2021 lalu.
Akta PSMB 2001 mengenakan pungutan levi Pembangunan Sumber Manusia (PSM) melalui penguatkuasaan undang-undang kepada majikan yang memenuhi syarat di Malaysia, dengan levi yang dipungut digunakan untuk melatih, mengembangkan dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, perantis dan pelatih melalui geran latihan.
Ketua Pegawai Program HRD Corp, Soffian Amin berkata, peningkatan kesedaran majikan dapat dilihat apabila terdapat peningkatan kadar penggunaan levi dalam kalangan majikan yang memberi cerminan kepada jumlah latihan dilaksanakan mereka.
“Ketika ini kadar penggunaan levi direkodkan pada jumlah 54 peratus berbanding hanya 39 peratus pada tahun 2021. Justeru itu, peningkatan ini menunjukkan gambaran yang baik terhadap peningkatan kesedaran bagi kepentingan penyediaan latihan kepada pekerja.
“Bagaimanapun, masih banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan oleh HRD Corp bagi memastikan penyediaan latihan sebagai sebuah budaya dalam kalangan kakitangan di Malaysia secara keseluruhannya,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI baru-baru ini.
Kaji selidik dijalankan Randstad Workmonitor pada tahun lalu menunjukkan 97 peratus rakyat Malaysia berminat terhadap peluang dalam pembangunan dan pembelajaran serta empat daripada lima respondan melihat elemen latihan dan pembangunan sebagai sebahagian daripada progres kerjaya mereka.
Bagaimanapun, menurut kajian tersebut, hanya 36 peratus daripada jumlah responden terlibat mendapat latihan yang sepatutnya atau diperlukan daripada majikan masing-masing.
Beliau berkata, memandang serius terhadap perkara itu, Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp mengambil inisiatif bagi melaksanakan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang bertujuan untuk memberi peluang pembelajaran, latihan dan peningkatan kemahiran.
NTW 2023 dilaksanakan dengan kerjasama dari pelbagai kementerian termasuk agensi kerajaan serta pemain industri dan sedang berlangsung sehingga 28 Mei ini di seluruh negara.
“NTW 2023 adalah minggu latihan yang mengumpulkan organisasi serta individu dari pelbagai latar belakang dan industri untuk latihan dan pembangunan. Ditawarkan secara percuma untuk rakyat Malaysia, ia dilaksanakan secara intensif dan berfokus kerjaya.
“Sasaran penyertaan adalah sebanyak 10,000 kursus secara percuma melibatkan 125,000 peserta dan 5,000 pengajar,” ujarnya.
Kursus-kursus dijalankan melalui pembelajaran secara bersemuka, dalam talian atau pembelajaran hibrid serta merangkumi pelbagai kemahiran insaniah dan teknikal dalam latihan, pemantapan, kemudahan dan pembelajaran
Mereka yang berminat boleh melayari www.nationaltrainingweek.gov.my untuk mendaftar dengan mana-mana kursus yang tersedia.
#NTW 2023 #Latihan Dan Pembangunan Bakat #HRD Corp #Kementerian Sumber Manusia
;