Majikan lari tinggal pekerja warga asing selepas lihat pasukan imigresen

Bernama
Ogos 27, 2024 11:00 MYT
Antara pekerja warga asing yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas sah untuk tinggal dan bekerja di negara ini. - Foto Facebook/Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Seorang majikan premis makanan bertindak melarikan diri selepas melihat pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang melakukan operasi di sebuah kompleks membeli-belah di sini, semalam.
Jabatan itu dalam hantaran di laman Facebook menyebut hasil pemeriksaan di premis berkenaan, lapan pekerja warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk tinggal dan bekerja di negara ini.
Mereka terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, dua lelaki China dan seorang lelaki Myanmar berusia 30 hingga 50 tahun.
Kesemua mereka yang didapati melanggar syarat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dibawa ke Depot Imigresen Juru untuk siasatan lanjut.
"Usaha mengesan majikan terlibat sedang dilakukan dan tindakan akan dikenakan mengikut peruntukan undang-undang," menurut JIM.
-- BERNAMA
#warga asing #majikan #JIM #kompleks membeli-belah
;