Majikan diwajib dapatkan perakuan penginapan pekerja dari JTKSM
Fareez Azman
Disember 3, 2020 15:03 MYT
Disember 3, 2020 15:03 MYT
KUALA LUMPUR: Majikan diwajibkan memperoleh perakuan penginapan pekerja daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sebagai prasyarat sebelum membawa masuk pekerja asing di negara ini.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penyelarasan Pekerja Asing yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pada Khamis.
Menurut Ismail Sabri, prasyarat itu dikuatkuasakan bagi memastikan tahap pematuhan penyediaan penginapan yang kondusif dapat diwujudkan oleh majikan kepada pekerja dengan norma baharu.
"Lantaran itu, dalam memastikan tahap pematuhan penyediaan penginapan yang kondusif oleh majikan, jawatankuasa bersetuju supaya majikan diwajibkan untuk memperoleh perakuan penginapan pekerja daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sebagai prasyarat sebelum dibenarkan untuk membawa masuk pekerja asing bekerja ke Malaysia.
"Perakuan ini perlu dikemukakan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di peringkat permohonan Visa Dengan Rujukan. Penetapan prasyarat ini akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai 2021," katanya dalam kenyataan bersama pada Khamis.
Tambah Ismail Sabri, penginapan yang disediakan majikan perlu mematuhi standard minimum dibawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
"Ini relevan dengan peningkatan penularan jangkitan COVID-19 dari kalangan warga asing berikutan kebanyakan mereka tinggal di penempatan yang padat, sesak dan kotor," katanya lagi.
Bermula 1 Disember lalu, JTKSM, jelasnya, telah mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas majikan-majikan yang gagal menyediakan kemudahan penginapan selaras dengan kriteria yang ditetapkan.
Sehingga 22 November, sebanyak 1,850 pemeriksaan telah dijalankan melibatkan 1,813 majikan dan 37 penyelia penginapan berpusat di seluruh Malaysia.
"Sasaran pemeriksaan penginapan oleh jabatan ini akan merangkumi 54,000 orang majikan. Sekali lagi diingatkan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang gagal mematuhi ketetapan perundangan di mana penalti yang berat akan dikenakan bagi pelanggaran yang dilakukan," kata beliau.
Dalam pada itu, tegas Ismail Sabri, majikan-majikan di enam buah negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang disarankan untuk membawa pekerja asing mereka menjalani ujian saringan COVID-19.
"Ujian saringan ini adalah kerjasama kerajaan melalui Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dengan pihak swasta dan sebarang maklumat lanjut mengenai ujian ini bolehlah menghubungi Perkeso" katanya lagi.
#ismail sabri yaakob
#M Saravanan
#ujian saringan
#Menteri Kanan Pertahanan
#Menteri Sumber Manusia
#pekerja asing
#Kuala Lumpur
#Imigresen
#Penginapan
#Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia
#JTKSM