Majikan dinasihat benar pekerja mengundi - Riot

Bernama
April 10, 2018 17:39 MYT
Majikan yang menghalang pekerja untuk keluar mengundi pada hari berkenaan boleh didenda lebih RM5,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan. - Gambar fail/EPA
Majikan diminta membenarkan para pekerja menunaikan hak sebagai warganegara untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini yang jatuh pada Rabu, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.
"Majikan mesti melepaskan pekerja (keluar mengundi). Mereka mesti diberi peluang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Ini selaras dengan peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengkehendaki majikan memberi suatu tempoh kepada pekerja untuk keluar mengundi.
Di bawah Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga, majikan yang menghalang pekerja untuk keluar mengundi pada hari berkenaan boleh didenda lebih RM5,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah hari ini mengumumkan hari pengundian bagi PRU14 pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.
BACA: PRU14: SPR tetapkan Rabu 9 Mei hari mengundi
Mengulas tarikh pengundian itu, Riot berkata SPR sudah tentu mempunyai sebab tersendiri memilih tarikh berkenaan.
Sementara itu Naib Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) A Ramadass berpendapat hari pengundian pada Rabu tidak mendatangkan masalah kepada majikan, mahupun menjejaskan operasi syarikat.
Katanya sebagai menghormati hak rakyat Malaysia, majikan akan memberi waktu pelepasan kepada pekerja untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
"Ia memang sudah diterima sebagai satu amalan dan ia pernah juga berlaku sebelum ini (mengundi pada hari bekerja). Lagipun ia hanya mengambil beberapa jam sahaja untuk pergi mengundi dan kemudian balik ke tempat kerja semula," kata beliau.
Bagaimanapun bagi mereka yang mengundi di negeri lain dari negeri mereka bekerja, Ramadass berkata mereka seharusnya meminta cuti untuk pulang ke kawasan tempat mengundi masing-masing.
Mengundi pada hari bekerja bukan sesuatu yang baharu walaupun ia tidak lazim dilakukan. PRU yang pertama diadakan pada 19 Ogos 1959 iaitu hari Rabu, manakala PRU keenam pada 1982 telah diadakan pada hari Khamis, 22 April.
PRU kesembilan dan PRU ke-10 juga jatuh pada hari Isnin iaitu masing masing pada 25 April 1995 dan 29 November 1999.
-- BERNAMA
#Akta Kesalahan Pilihan Raya #buang undi #majikan #Malaysia Memilih #mengundi #Pekerja #pilihan raya umum #PRU14 #Richard Riot Jaem
;