Majikan diminta beri cuti bergaji kepada pekerja terjejas banjir di Baling

Bernama
Julai 8, 2022 13:35 MYT
Langkah itu boleh meningkatkan produktiviti kerja pekerja apabila kembali bertugas setelah segala permasalahan diselesaikan tanpa sebarang kekangan. - Gambar fail
BALING: Majikan diminta memberikan cuti bergaji kepada pekerja yang terlibat dalam kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di sini, Isnin lepas supaya mereka dapat menumpukan kepada kerja-kerja pascabanjir termasuk membersihkan kediaman.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, langkah itu boleh meningkatkan produktiviti kerja pekerja apabila kembali bertugas setelah segala permasalahan diselesaikan tanpa sebarang kekangan.
"...beri mereka (cuti) untuk menyelesaikan masalah rumah tangga dulu yang mana mereka nak hidup, nak kerja, nak makan, nak tempat berlindung pun tak boleh sebab dah tak ada rumah. Dengan timbunan selut yang begitu tinggi. Jadi, kita nak mereka tumpu bersihkan dulu.
"Kalau mereka datang kerja pun, tak ada hati langsung nak bekerja kerana memikirkan keadaan mereka yang di rumah ada anak isteri...jadi saya harap pihak majikan beri cuti bergaji. Jangan potong gaji mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kementeriannya kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau An-Nur dekat sini hari ini.
Selain itu, Awang juga menggesa ketua jabatan sektor awam agar turut mengambil langkah serupa bagi memudahkan urusan petugas yang menjadi mangsa banjir untuk melakukan kerja pembersihan di rumah masing-masing.
Menurutnya pekerja yang berhadapan dengan masalah majikan tidak membenarkan cuti itu boleh membuat aduan menerusi aplikasi 'Working For Workers' (WFW) untuk memudahkan pihak kementerian menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Insya-Allah kita akan ambil tindakan segera untuk menyiasat dan kita akan memberi satu pandangan dan nasihat supaya tidak menjejaskan kedua-dua pihak," katanya yang turut memaklumkan tindakan boleh diambil terhadap majikan sekiranya didapati melanggar akta kerja.
Dalam kejadian banjir itu, sebanyak 12 kampung terjejas dengan 15 rumah rosak teruk sehingga tidak boleh didiami lagi selain meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita mengandung berusia 23 tahun.-- BERNAMA
#banjir baling #mangsa banjir #cuti bergaji #majikan
;