Majikan diberi tempoh sehingga 31 Mei, daftar Perkeso sebelum Op Kesan

Bernama
Mei 15, 2024 14:48 MYT
Mohammed Azman berkata tempoh yang diberikan adalah peluang terakhir bagi majikan untuk mematuhi peraturan tersebut. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Majikan di seluruh negara diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebelum pelaksanaan Op Kesan 2024 bermula bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata tempoh yang diberikan adalah peluang terakhir bagi majikan untuk mematuhi peraturan tersebut tanpa pengecualian termasuk daripada kompaun, pendakwaan, dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
"Majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum untuk pekerja ini diminta untuk hadir dengan segera kerana keselamatan sosial merupakan kebajikan yang paling penting untuk pekerja.
"...ini termasuk pekerja tempatan dan pekerja warga asing, jangan ingat pekerja asing ini tidak perlu didaftar dan dicarum (Perkeso), begitu juga bagi mereka yang mempunyai pembantu rumah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, majikan boleh mendaftar secara dalam talian melalui Portal ASSIST, mengunjungi mana-mana daripada 54 pejabat Perkeso di seluruh negara atau menghubungi Careline PERKESO di 1-300-22-8000.
Mohammed Azman berkata, kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan dengan jumlah kompaun boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan.
"Selain itu, majikan juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat bayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman Perkeso.
"Majikan juga boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Beliau berkata, Op Kesan ke-15 pada tahun ini melibatkan 500 anggota Perkeso dijalankan bagi memastikan semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tanpa mengira jumlah gaji, mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka mengikut peruntukan seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Seksyen 14 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Katanya, berdasarkan statistik Op Kesan ke-14 pada 2023, tahap ketidakpatuhan majikan mencarum di bawah Akta 4 dan Akta 800 selepas pelaksanaan Bulan Pemutihan adalah berkadar 21.73 peratus berbanding tahun sebelumnya iatu 18.95 peratus dan kebanyakan ketidakpatuhan ini membabitkan majikan berskala kecil dan baru memulakan perniagaan pasca pandemik.
Berdasarkan perangkaan Perkeso sehingga 31 Mac 2024, hampir 1.55 juta majikan telah berdaftar dengan Perkeso di bawah Akta 4, namun jumlah yang aktif mencarum iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah 600,819 majikan manakala jumlah pekerja aktif pula sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah seramai 9.70 juta orang.
Pelaksanaan Bulan Pemutihan kali ini turut memberi tumpuan kepada penyaluran maklumat berkaitan pencegahan kemalangan di tempat kerja di samping aktiviti dalam mempergiatkan usaha menguar-uarkan kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada semua majikan terutama dari sektor kecil dan sederhana.
la bagi meningkatkan kesedaran golongan majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan khususnya dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan kemalangan kepada pekerja selaras 'Vision Zero Perkeso' dalam mencapai sifar kecederaan pekerjaan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.
-- BERNAMA
#majikan #daftar Perkeso #Ops Kesan 2024 #Mohammed Azman Aziz Mohammed
;