Majikan diberi masa enam bulan sediakan penginapan sesuai selepas pengambilan pekerja asing
Fareez Azman
Januari 25, 2023 14:26 MYT
Januari 25, 2023 14:26 MYT
KLANG: Majikan di negara ini diberi tempoh enam bulan menyediakan penginapan mengikut standard ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) selepas pengambilan tenaga kerja asing.
Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, penyeliaan secara kerap akan dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan setiap majikan menjaga kebajikan tenaga kerja asing di negara ini.
"Kita benarkan lebih ramai pekerja asing masuk tapi kita kena pastikan bila mereka datang mempunyai tempat tinggal sesuai.
"Naziran (seliaan) akan dibuat (Kementerian Sumber Manusia)... bukan sebab kita longgarkan syarat, majikan boleh sewenang-wenangnya ambil pekerja dan tempatkan mereka di tempat tidak sesuai, tidak.
"Kita beri kelonggaran syarat tapi dalam tempoh sama selama enam bulan, kita buat naziran pastikan majikan sediakan tempat penginapan dan mereka patuhi semua syarat, itu penting," katanya.
Sivakumar berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai perasi Bersepadu Akta 446 di kawasan perindustrian Aman Perdana, Meru, di sini, hari ini.
Operasi Bersepadu Khas Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] disertai oleh 117 anggota pelbagai agensi kerajaan yang diketuai oleh Sivakumar.
Tambah Sivakumar, undang-undang sedia ada memadai setakat ini untuk memastikan majikan diambil tindakan sewajarnya sekiranya melanggar sebarang peraturan.
"Dulu kita bagi kelulusan, pemeriksaan kita buat sebelum bagi kelulusan. Sekarang kita bagi kelulusan sebelum kita buat pemeriksaan dan naziran.
"Ini juga akan menjadi satu kaedah terbaharu sekurang-kurangnya tempoh enam bulan untuk pastikan apabila pekerja asing datang bekerja kita pastikan mereka diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak majikan," ujarnya lagi.