Majalah Time nobat Bulent Kilic sebagai Jurugambar Berita Terbaik 2014
Agensi
Disember 26, 2014 14:59 MYT
Disember 26, 2014 14:59 MYT
Majalah Time menobatkan jurugambar AFP Bulent Kilic sebagai Jurugambar Berita Terbaik 2014 untuk foto-foto menarik yang dirakamnya di sempadan Syria, Ukraine dan tempat asalnya, Turki.
Kilic adalah jurugambar Agence France-Presse, AFP yang ketiga menerima anugerah Time bagi mengiktiraf kecemerlangan imej berita, sejak ia ditubuhkan pada tahun 2010.
Menurut Time, foto-foto yang diambil Kilic, 35 dilihat seolah-olah hidup dan nampak seperti dirinya berada di tengah-tengah berita terutamanya ketika dia merakamkan gambar dalam insiden pejuang negara Islam berada di bawah serangan udara berhampiran bandar sempadan Syria dekat Kobane.
"Menarik, imej yang jelas dan tidak dapat dilupakan oleh Kilic telah menarik perhatian editor foto," kata Olivier Laurent, editor blog foto di Time Lightbox.
Berasal dari Instanbul, Kilic memulakan tugas pada tahun ini dengan membuat liputan protes anti-kerajaan di Ukraine, sebelum pergi ke bencana lombong arang batu Soma di Turki pada bulan Mei yang mana 301 orang meninggal dunia.
Pada bulan Oktober, dengan menggunakan kanta telefoto, Kilic telah merakam sebuah foto yang dikatakan sangat mengagumkan dari puncak bukit di sempadan Turki-Syria iaitu seorang anggota militan IS sedang melarikan diri dalam kepulan asap.
Anugerah ini sebelum ini dimenangi oleh jurugambar AFP Mauricio Lima pada tahun 2010 dan Marco Longari pada tahun 2012.
Jurugambar AFP telah dua kali memenangi hadiah Pulitzer untuk hasil kerja mereka: Massoud Hossaini pada tahun 2012 dan jurugambar bebas, Javier Manzano pada tahun 2013.