MAIWP sumbang lebih RM16 juta kepada asnaf sempena Aidilfitri tahun ini

Israr Khalid
Mei 2, 2024 12:05 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan sumbangan kepada anak-anak asnaf pada majlis Rahmah Syawal MAIWP: Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf di Dewan Perdana Felda. - Foto MAIWP
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan lebih RM16 juta sumbangan kepada asnaf di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
Sumbangan tersebut adalah kesinambungan usaha MAIWP setiap tahun dalam menyalurkan wang zakat bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan untuk dapat sama meraikan Hari Raya seperti insan lain di negara ini.
Maklum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bantuan itu diagih sejak sebelum Syawal berjumlah RM16.1 juta kepada 32,250 asnaf di ketiga-tiga wilayah yang mana setiap seorang mendapat RM500.
Tambahan daripada itu, MAIWP juga menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan anak-anak mereka berjumlah RM150,000 dalam majlis Rahmah Syawal MAIWP: Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, di sini pada Selasa.
“Kita harap dengan sumbangan ini mereka dapat sambut Syawal dengan rasa gembira seperti orang lain.
“Seperti kita maklum, bantuan-bantuan lain seperti perubatan dan penjagaan kesihatan bulanan masih berterusan,” jelasnya.
Dalam majlis tersebut, 600 asnaf terdiri daripada 400 orang dewasa yang menerima sumbangan wang tunai dan cenderahati bernilai RM350 setiap seorang, sementara 200 orang kanak-kanak menerima RM50 setiap seorang.
Pada majlis yang sama, MAIWP turut melancarkan Projek Mobile Lab Internet 2 dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, kesinambungan daripada inisiatif Mobile Lab Internet 1 yang mula beroperasi pada 2021.
Menurut Dr. Na’im, MAIWP memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta untuk menjayakan Projek Mobile Lab Internet 2 sebagai usaha berterusan membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan, yang dianggar dapat membantu sekitar 2,000 anak-anak asnaf.
“Mobile Lab 2 ini membolehkan mereka menambah ilmu, membuat penyelidikan dengan kemudahan teknologi yang ada supaya mereka dapat menambah baik kualiti diri.
“Kemudian apabila sudah lebih berpengetahuan, mereka akan dapat belajar di peringkat lebih tinggi kemudian mendapat pekerjaan yang bagus.
“Supaya akhirnya nanti mereka akan dapat menjadi pembayar zakat dan mengubah kehidupan ibu bapa dan keluarga juga membantu golongan yang memerlukan.”
#MAIWP #asnaf #Aidilfitri #sumbangan
;