MAIWP sasar kutipan zakat RM1 bilion tahun ini

Bernama
April 28, 2022 15:24 MYT
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan peningkatan kutipan zakat kepada RM1 bilion pada tahun ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan peningkatan kutipan zakat kepada RM1 bilion pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata dari Januari hingga Mac 2022 jumlah kutipan zakat adalah sebanyak RM162 juta berbanding RM145 juta bagi tempoh sama pada 2021 iaitu kenaikan sebanyak 12 peratus.
"Kita nak maklum kepada masyarakat bahawa wang yang diberi kepada MAIWP kita agihkan secara telus...pada tahun ini kita sasar kutipan zakat RM1 bilion.
"Insya-Allah saya percaya jika perniagaan murah rezeki, saya yakin dan percaya ia bukan perkara yang mustahil," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis iftar bersama 150 asnaf di sini malam ini.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menunaikan zakat kepada MAIWP serta Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP atas kesungguhan dan ketekunan menguruskan amanah zakat kepada golongan asnaf.
Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan wang tunai RM200 sumbangan syarikat Naza Group of Companies serta pek makanan sumbangan rakan strategik MAIWP iaitu Yayasan EZY Prihatin kepada asnaf yang hadir.
Beliau juga menyampaikan cek contoh Bantuan Aidilfitri berjumlah RM24.4 juta kepada wakil asnaf yang akan diagihkan kepada 30,970 penerima.
"Program pada hari ini membuktikan keprihatinan MAIWP dalam membantu segenap lapisan komuniti khususnya di Wilayah Persekutuan. Pertemuan kita pada hari ini adalah sebagai penyambung dan pelengkap kepada ikatan silaturahim antara agensi kerajaan khususnya MAIWP bersama asnaf penerima bantuan zakat MAIWP," kata Idris.
Turut hadir Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman.
-- BERNAMA
#MAIWP #kutipan zakat #Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan #bilion #Idris Ahmad #PPZ