MAIWP sasar kutipan zakat RM1.1 bilion pada 2024
Faida Rahim
Disember 21, 2023 15:39 MYT
Disember 21, 2023 15:39 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan zakat melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP sebanyak RM1.1 bilion pada 2024.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Daud Bakar, berkata MAIWP memperuntukkan perbelanjaan RM1,605,958,100 pada tahun hadapan iaitu termasuk perbelanjaan agihan, mengurus dan pembangunan.
“Perbelanjaan agihan berjumlah RM1.305 bilion, perbelanjaan mengurus RM215.11 juta, perbelanjaan pembangunan RM85.44 juta.
"Anggaran perbelanjaan MAIWP tahun depan meningkat sebanyak 11.31 peratus berbanding tahun 2023 (RM1.442 bilion),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Bajet 2024 MAIWP di Menara MAIWP Kuala Lumpur pada Khamis.
Jelas beliau, MAIWP memberi fokus utama kepada perbelanjaan agihan menerusi pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf, serta pemerkasaan modal insan melalui pendidikan.
Sementara itu, MAIWP turut mengumumkan insentif khas kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2023.
“Insentif itu adalah RM1,000 seorang kepada 30,000 penerima bantuan kewangan bulanan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30 juta. RM500 seorang kepada 4,800 penerima Bantuan Am Pelajaran IPT melibatkan RM2.4 juga. RM300 seorang kepada 34,300 penerima bantuan am persekolahan melibatkan RM10.3 juta.
"Bantuan ini akan disalurkan selewat lewatnya pada 31 Disember 2023," katanya.