MAIWP raikan 100 pasangan pengantin asnaf dan B40
Haikal Raman
Disember 28, 2022 17:34 MYT
Disember 28, 2022 17:34 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 100 pasangan pengantin daripada golongan asnaf, fakir miskin, mualaf dan berpendapatan rendah (B40) bakal diraikan pada majlis Walimatul Urus Perdana anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Majlis tersebut merupakan antara salah satu program dalam Karnival MAIWP yang bakal diadakan selama dua hari bermula 28 Januari 2023 di Dataran Merdeka di sini.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Daud Bakar berkata, penganjuran karnival kali kedua tersebut akan menghimpunkan syarikat dan Institusi Pendidikan MAIWP, usahawan asnaf dan rakan korporat MAIWP dalam satu program berskala besar.
"MAIWP juga memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi keseluruhan Karnival MAIWP dan pelbagai program diadakan sempena dua hari karnival ini berlangsung antaranya Majlis Walimatul Urus Perdana MAIWP yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perbelanjaan walimah ini akan ditanggung oleh MAIWP berdasarkan peruntukan diluluskan, malah setiap pasangan diberikan sepersalinan pakaian pengantin setiap seorang dan turut menerima sumbangan tambahan wang tunai RM2,000 seorang bermakna RM4,000 bagi setiap pasangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis prapelancaran Karnival MAIWP di sini pada Rabu.
Menurut Mohd. Daud, Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong juga berkenan mencemar duli menyempurnakan Karnival MAIWP terbabit.
Tambahnya, program Walimatul Urus Perdana itu menampilkan tema Nostalgia Adat Istiadat Sejarah Kegemilangan Melayu Islam bagi mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan dan lambang kemelayuan Islam.
“Pada majlis tersebut, seramai 100 pasangan pengantin bakal diarak dengan menaiki bas KL Hop On Hop Off menuju ke Dataran Merdeka dalam suasana penuh kemeriahan agar memori yang terpahat bakal memberikan kenangan yang teristimewa buat pasangan pengantin tersebut dan menjadi pemangkin semangat mereka untuk menjalani kehidupan berkeluarga nanti.
“Antara pengisian dalam Karnival MAIWP 2023 termasuk MAIWP RUN yang dijangka disertai seramai 10,000 peserta, penyampaian anugerah Ikon Usahawan Asnaf dan Ikon Pendidikan Asnaf MAIWP selain bakal dimeriahkan dengan pembukaan 100 tapak jualan,” ujarnya.
Karnival yang disasarkan menarik seramai 500,000 pengunjung itu nanti turut bakal diserikan dengan persembahan hiburan oleh selebriti nasyid popular seperti Rabbani, Raihan, In Team, Nada Murni 2 dan Aydan.
Sementara itu, MAIWP Run akan dianjurkan dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat MAIWP bermula jam 7 pagi pada 29 Januari 2023.
Peserta boleh memilih untuk berjalan secara santai atau berlari dalam dua kategori laluan sejauh tiga kilometer atau lima kilometer yang akan melalui Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdulrahman.