MAIWP, Prihatin santuni 2,000 golongan asnaf
Asyraf Roslan
April 17, 2023 00:25 MYT
April 17, 2023 00:25 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dengan kerjasama Pertubuhan Indah Ampang Selangor (PERHIAS) menyantuni 2,000 golongan asnaf pelbagai kategori melalui program Kembara Ramadan MAIWP
Menurut Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar, pihaknya mengeluarkan bajet terbesar untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan sempena Ramadan dan Aidifitri pada tahun ini.
"Ini merupakan peruntukan yang besar sempena Ramadan dan Syawal. Kita telah siapkan RM77 juta untuk menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan sempena Ramadan dan Syawal," katanya kepada media pada Isnin.
Pada masa sama, Mohd Daud menyeru lebih ramai umat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab membayar zakat serta tampil memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali menyatakan, pihaknya dan MAIWP menumpukan khusus buat golongan sasar melalui program tersebut yang bermula sejak 8 April lalu.
“Kami pergi betul-betul kepada golongan sasar seperti rumah anak yatim, rumah kebajikan orang tua dan OKU.
“Kami mencari ruang-ruang yang jarang ditemui dan kita tengok pangkalan data daripada MAIWP dan mana yang perlu disantuni,” ujarnya.
Pada majlis penutup Kembara Ramadan MAIWP, lebih 500 orang terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar tahfiz, ibu tunggal, golongan OKU dan warga emas mendapat sumbangan wang tunai, baju raya dan barang keperluan sempena Aidilfitri.
Kembara Ramadan MAIWP merupakan salah satu program hasil inisiatif yang dianjurkan PERHIAS dan Prihatin melalui pembiayaan MAIWP dalam menjalankan aktiviti sepanjang bulan Ramadan dengan cara menyantuni golongan B40 dan asnaf serta golongan yang kurang bernasib baik.