MAIWP perlu jadi contoh pemerkasaan asnaf dalam pendidikan - Mohd Na'im

Bernama
September 21, 2023 10:24 MYT
Mohd Na'im (dua dari kiri) sewaktu Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2022 dan Pelancaran Wakaf Tablet MAIWP di sini hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar mahu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjadi contoh dalam memperkasakan golongan asnaf menerusi pendidikan.
Beliau berkata ini kerana dengan pendidikan mampu mengubah nasib keluarga golongan itu sekali gus bebas daripada belenggu kemiskinan.
"Ilmu akan menjadikan seseorang itu berjaya di dunia dan akhirat," katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2022 dan Pelancaran Wakaf Tablet MAIWP di sini hari ini.
Majlis itu diadakan bagi memberi penghargaan kepada 273 penerima Bantuan Am Persekolahan MAIWP dan 217 pelajar institut pendidikan MAIWP yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Mohd Na'im berkata kesemua pelajar cemerlang berkenaan akan menerima daripada MAIWP satu unit komputer riba bernilai RM2,500 dan Insentif Tunai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan kadar RM500 hingga RM1,000 mengikut keputusan pelajar, yang berjumlah lebih RM1.6 juta.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah Agama MAIWP Kuala Lumpur kerana muncul sekolah terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan enam terbaik di peringkat kebangsaan dalam keputusan SPM 2022 dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.33.
"Ini satu kebanggaan buat kita di MAIWP kerana institusi pendidikan di bawah MAIWP juga mampu bersaing dengan sekolah lain di Wilayah Persekutuan daripada aspek pencapaian," katanya.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Wakaf Tablet MAIWP atau Wakaf Device To You (Device2U) yang menyasarkan satu peranti bagi setiap pelajar asnaf dan B40, bertujuan membantu aktiviti pembelajaran secara interaktif.
"Inisiatif ini melibatkan 3,202 pelajar di peringkat institusi pendidikan MAIWP dengan jumlah perbelanjaan RM8.36 juta," katanya.
-- BERNAMA
#asnaf #MAIWP #pendidikan #Mohd Na'im Mokhtar