MAIWP pelawa pemikir, pelabur Islam libatkan diri dalam pembuatan Al-Quran AI

Bernama
Disember 16, 2023 05:00 MYT
Pemikir dan pelabur Islam dalam sektor teknologi terutama kecerdasan buatan (AI) dipelawa untuk terlibat sama dalam pembuatan Al-Quran AI.
KUALA LUMPUR: Pemikir dan pelabur Islam dalam sektor teknologi terutama kecerdasan buatan (AI) dipelawa untuk terlibat sama dalam pembuatan Al-Quran AI.
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, AI boleh menjadikan sesuatu ilmu itu lebih mudah difahami kerana memiliki pelbagai aplikasi, kefahaman, kognitif, kekoherenan dan keterangkuman yang memudahkan atur cara apa-apa ilmu.
Beliau berkata, al-Quran adalah sebuah kitab yang paling konsisten dan mempunyai algoritma tersendiri yang perlu di-AI untuk pembaca lebih memahami serta menghayati al-Quran.
"Ini merupakan cabaran untuk ulamak juga... kita telah AI-kan banyak benda tetapi kita mungkin takut atau tidak berani untuk meng-AI al-Quran... mungkin ini masa yang sesuai untuk memanggil para ulamak dan pemikir Islam kerana al-Quran mempunyai banyak data serta algoritma konsisten daripada Pencipta, yang pasti ilmunya tersusun, jadi lebih mudah untuk kita keluarkan AI pada al-Quran, cuma perlukan keberanian.
"Jika kita buat begini, al-Quran akan lebih mudah difahami oleh orang bukan Islam juga. Ini adalah cabaran dan peluang untuk kita jadikan al-Quran agar dapat dilihat dengan telus dengan kuasa AI ini," katanya pada Majlis Khatam Al-Quran sempena Program Jom Celik Al-Quran Tahun 2023, di sini, pada Sabtu.
Program tahunan itu dilaksana secara berkala oleh Unit Seranta, Bahagian Pembangunan Insan (BPI) MAIWP dengan kerjasama Yayasan Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ) mulai 2020.
Edisi ketiga penganjurannya itu menyaksikan penyertaan 62 orang dari tiga lokasi pelaksanaan pengajian al-Quran iaitu PPR Kampung Limau, Pusat Pengajian Warga Emas Darul Ilmi MAIWP Sungai Penchala dan Pusat Perlindungan Dar Assaadah, MAIWP.
Program Jom Celik Al-Quran, yang memfokus kepada pelaksanaan Kelas Tahsin Al-Quran sehingga khatam, berhasrat agar semua masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan mampu membaca kitab suci itu dengan baik serta memupuk semangat di dalam pembacaannya dan kecintaan kepada kalam Allah SWT.
- BERNAMA
#Al-Quran AI #MAIWP #Islam #kecerdasan buatan
;