MAIWP cari kaedah berkesan bantu pelarian

Rahimah Abdullah
Mac 23, 2022 21:32 MYT
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, ketika ini pihaknya sedang melakukan lebih banyak pengumpulan dan analisis data bagi mencari kaedah berkesan membantu pelarian. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mencari kaedah berkesan dalam membantu pelarian di Malaysia.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, ketika ini pihaknya sedang melakukan lebih banyak pengumpulan dan analisis data bagi tujuan berkenaan.
Kata Dr Mohd Daud, pihaknya dalam masa sama akan turut melihat kepada penggunaan teknologi pintar dan digital bagi memastikan penyaluran yang memberi impak dan kualiti tinggi.
"Saya boleh katakan, MAIWP adalah (institusi zakat) yang pertama bekerjasama dengan UNHCR pada tahun lepas untuk memulakan beberapa hubungan dan bantuan kewangan terkehadapan.
"Jadi, ini merupakan langkah pertama dan kami perlu melakukan lebih lagi. Mungkin benar, ini masih tidak mencukupi.
"Kami berharap kami boleh melaksanakan lebih lagi terutama dalam soal teknologi pintar seperti e-wallet dan e-money bagi memantau kualiti pengeluaran bantuan dan impak perbelanjaan itu kepada kebajikan pelarian," katanya semasa webinar UNHCR’s Annual Islamic Philanthropy Report pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohd Daud berpendapat, sudah tiba masanya semua pihak melihat semula soal perundangan melibatkan pelarian selain cadangan memperluaskan penggunaan teknologi pintar sebagai perancangan jangka panjang untuk kebajikan kumpulan itu.
"Keduanya, penggunaan bantuan teknologi pintar dilihat sangat membantu dalam keperluan mendesak dan keperluan jangka panjang untuk mereka (pelarian) bekerja di negara ketiga atau negara asal mereka," ujarnya.
Justeru katanya, beliau melihat polisi dalam pelaksanaan zakat perlu diperjelaskan lagi dan pihaknya ketika ini sedang berusaha ke arah itu.
#zakat #MAIWP #Mohd Daud Bakar #UNHCR #pelarian
;