MAIS tetap pendirian tamat kontrak guru KAFA tolak vaksin
Bernama
Mei 21, 2022 21:51 MYT
Mei 21, 2022 21:51 MYT
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tetap dengan pendirian mereka dengan isu penamatan kontrak guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) susulan menolak pengambilan vaksin COVID-19.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tindakan tersebut dibuat pihaknya setelah kumpulan tersebut dinasihat banyak kali untuk mendapatkan dos vaksin berkenaan.
Abdul Aziz berkata langkah berkenaan juga dibuat berdasarkan undang-undang sedia ada, demi kebaikan semua pihak khususnya kerana tugas seorang guru yang perlu berinteraksi dengan murid-murid.
"Kami mengikut peraturan dan prosedur undang-undang. Kami beri ingatan dan nasihat, jika tidak ikut juga, kami tidak mempunyai pilihan lain (tamatkan kontrak).
"Perkara ini (nasihat untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19) masih tidak diikuti, jadi pihak kerajaan Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu tindakan tegas supaya tidak menjadi ikutan kepada yang lain," katanya selepas Majlis Penutup Kursus Perdana Musim Haji 1443 hijrah peringkat negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Khamis lepas (19 Mei), sebuah portal berita dalam talian mendakwa pasangan suami isteri guru KAFA yang ditamatkan kontrak perkhidmatan oleh JAIS bulan ini kerana menolak vaksin COVID-19, terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan untuk menyara tiga anak mereka.
Pada 18 Mei, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat daripada Bahagian Pendidikan JAIS berhubung guru KAFA yang ditamatkan kontrak pada awal Mei ini kerana menolak vaksin COVID-19.
Terdahulu, seramai 2,700 jemaah dari Selangor menyertai Kursus Perdana Haji musim 1442 hijrah/ 2022 anjuran Tabung Haji (TH) dan JAIS di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Penganjuran kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH di seluruh Malaysia dilakukan secara berperingkat di seluruh negara bermula 15 Mei sehingga 29 Mei depan.
-- BERNAMA
#guru KAFA
#Tolak vaksin
#MAIS
#Majlis Agama Islam Selangor
#Kelas Agama dan Fardu Ain
#vaksin COVID-19
#Abdul Aziz Mohd Yusof
#penamatan kontrak