MAIS sangkal kenyataan Khalid Samad berhubung isu rampasan Bible

Bernama
Januari 25, 2014 00:00 MYT
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyangkal kenyataan Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad bahawa MAIS diperalatkan pihak tertentu apabila mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas Bible di Damansara Kim, Petaling Jaya, 2 Jan lalu.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam kenyataannya berkata rampasan itu adalah selaras dengan Enakmen Negeri dan titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
"MAIS tidak mengikut telunjuk sesiapa seperti yang didakwa sama ada telunjuk UMNO atau pun kerajaan Persekutuan.
"Ini adalah prinsip yang dipegang MAIS iaitu untuk mempertahankan agama Islam dan mematuhi titah Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri selaras dengan prinsip undang-undang dan enakmen yang berkuat kuasa di Selangor," katanya.
Beliau berkata kenyataan Khalid itu hanya bersandar kepada kepentingan politik semata-mata dan sebagai wakil rakyat beragama Islam, Khalid seharusnya lebih sensitif dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
"MAIS menggesa Khalid Samad dan individu lain supaya menyemak fakta sebelum mengeluarkan kenyataan kepada umum. Sekiranya kenyataan yang dikeluarkan nanti bersifat fitnah, Mais tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.
Pada November lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan rakyat di negeri ini akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seperti termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.
Berikutan itu, pada 2 Jan lalu JAIS menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim dekat sini dan merampas 351 kitab Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban kerana menggunakan kalimah Allah.
#Jabatan Agama Islam Selangor #JAIS #Kalimah Allah #Khalid Abdul Samad #Kristian #MAIS #Majlis Agama Islam Selangor #Mohamad Adzib Mohd Isa #rampas Bible