MAIS kerjasama dengan SPRM elak penyelewengan wang sumbangan, zakat

Bernama
Januari 17, 2024 18:05 MYT
Abdul Aziz berkata pihaknya telah menjemput SPRM bagi membantu MAIS terutamanya berkaitan hal perolehan dan pengurusan di masjid dan surau serta pemberian wang untuk sedekah, zakat atau wakaf. - Gambar fail
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memastikan tiada lagi kes penyelewengan membabitkan wang yang disumbangkan orang ramai kepada agensi dan institusi agama di bawahnya.
Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya mengakui terdapat kes penyelewangan wang zakat di negeri ini membabitkan jumlah yang tidak begitu besar, namun pihaknya bertegas mahu memastikan perkara itu tidak lagi berulang.
"Kita dengar baru-baru ini laporan media ada satu majlis agama Islam yang duit zakatnya begitu besar tidak dimasukkan ke dalam Lembaga Zakat Negeri dan ini termasuk berlaku di Selangor tetapi tidaklah banyak dan kita telah buat tindakan susulan termasuk laporan polis.
"Jadi sekarang kita tidak mahu perkara itu berulang dan kita ambil tindakan kepada sesiapa yang terlibat dan memberi ingatan supaya perbuatan seperti itu jangan sesekali dibuat dalam institusi agama seperti di MAIS," katanya kepada media selepas menyampaikan perutusan tahun baharu dan melancarkan Pelan Anti Rasuah MAIS, di sini hari ini.
Katanya perkara itu perlu dilakukan memandangkan kutipan zakat di Selangor adalah yang tertinggi dan pihaknya mesti memberi keyakinan kepada para penyumbang zakat bahawa wang mereka diuruskan sebaik-baiknya dan tanpa penyelewengan waima satu sen.
Abdul Aziz berkata pihaknya telah menjemput SPRM bagi membantu MAIS terutamanya berkaitan hal perolehan dan pengurusan di masjid dan surau serta pemberian wang untuk sedekah, zakat atau wakaf supaya tiada amalan rasuah atau diselewengkan .
"Ini sebab sumbangan untuk agama ini sesetengah orang kata dia serah begitu sahaja, terpulang pihak tuan untuk kendalikan sumbangan saya ini. Jadi SPRM diharap akan dapat membantu kita bagaimana supaya rasuah ini dapat dihindarkan," katanya.
-- BERNAMA
#zakat #penyelewengan #agensi #SPRM
;