MAIS iktiraf pernikahan hanya jika berdaftar dengan JAIS
Bernama
Januari 8, 2023 14:54 MYT
Januari 8, 2023 14:54 MYT
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak mengiktiraf mana-mana pernikahan pasangan tempatan di luar negara sekiranya pasangan itu tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata walaupun pernikahan itu sah di sisi Islam, setiap pasangan yang gagal mendaftar tetap tidak diiktiraf, dan ia sekali gus akan menimbulkan pelbagai masalah lain pada masa akan datang.
"Contohnya seperti urusan anak hendak berkahwin, susah jika perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan dan diiktiraf di Selangor...begitu juga berkaitan pembahagian harta pusaka," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Program Sumbangan Pasca Banjir MAIS serta anak syarikat ke Terengganu dan Kelantan di sini, hari ini.
"Ruang untuk bernikah di Malaysia terbuka luas, tiada masalah, malah kita juga mengadakan kursus perkahwinan yang tidak dilakukan oleh mana-mana negara, paling kurang pun mereka bertanya soalan rukun nikah atau tiada apa-apa," tambahnya.
Selain itu katanya Selangor juga tidak mengiktiraf apa-apa jenis pakej pernikahan di luar negara termasuk Thailand dan Indonesia.
Sementara itu merujuk kepada program hari ini, Abdul Aziz berkata MAIS menyumbangkan bantuan kewangan dan bahan makanan asas berjumlah RM200,000 bagi meringankan beban mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Menurutnya MAIS menyalurkan RM125,000, manakala baki RM75,000 disumbangkan oleh anak syarikat dan agensi dikelolakannya, iaitu Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Universiti Islam Selangor (UIS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) serta Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).
Sumbangan itu disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
-- BERNAMA