MAIPs sumbang RM1.12 juta untuk misi kemanusiaan di Palestin

Bernama
November 3, 2023 04:30 MYT
Tuanku Syed Faizuddin berkenan hadir pada Program Hijrah Minda dan Pengurniaan Bantuan Fi Sabilillah kepada Penduduk Gaza di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis, 3 Nov 2023. - Foto Facebook MAIPs
KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbang RM1.12 juta di bawah peruntukan 'Fi Sabilillah' untuk misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin.
Simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kuala Perlis semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata sumbangan itu selari dengan tujuan agihan zakat serta kerjasama dengan Wisma Putra dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan berkenaan.
"Sumbangan berkenaan terdiri RM1 juta daripada dana sedia ada MAIPs selain RM120,000 sumbangan masyarakat dan NGO melalui Tabung Aqsa MAIPs," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Nazim berkata agihan sumbangan itu diserahkan melalui Tabung Musaadah Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia dan diagihkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenal pasti dapat menyampaikan bantuan secara terus kepada penduduk Gaza.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin mengingatkan rakyat di Perlis yang ingin membuat sumbangan kepada saudara Islam di Gaza agar menyalurkan menerusi pihak yang diberikan tanggungjawab oleh kerajaan.
Baginda juga bertitah agar rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama, terus bersolidariti dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi untuk rakyat Palestin.
"Meskipun kita tidak dapat membantu di sana secara fizikal, doa dan hati kita akan sentiasa bersama mereka," titah baginda.
-- BERNAMA
#sumbangan #Gaza #misi kemanusiaan #tabung musaadah jakim
;