MAIPk perkenal medium terbaharu bayaran zakat melalui Shopee

Abd Razak Mohd Ali
Disember 16, 2020 08:44 MYT
Pelantikan Shopee itu seiring dengan perkembangan terkini di mana masyarakat semakin memilih transaksi bayaran dan pembelian atas talian.
IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengumumkan Shopee sebagai medium bayaran atas talian terbaharu bagi bayaran zakat melalui laman Facebook MAIPk iaitu Zakat Perak-MAIPk.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari, pelantikan Shopee itu seiring dengan perkembangan terkini, iaitu masyarakat semakin memilih transaksi bayaran dan pembelian atas talian yang lebih mudah dan cepat.
Menurutnya, MAIPk sentiasa komited memperkasakan khidmat pelanggan bagi memudahkan pembayaran zakat.
“Selain itu, dalam tempoh negara masih lagi terhad pergerakan ekoran pandemik COVID-19, transaksi atas talian adalah pilihan yang lebih selamat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, orang ramai, terutama umat Islam di Perak boleh membayar zakat menerusi aplikasi Shopee mulai 18 Disember ini melalui dompet mudah alih ShopeePay, Kad Debit, perbankan atas talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven.
Shahrul Azam berkata, berkata, bagi merancakkan lagi kempen bayaran zakat, pihak Shopee juga melaksanakan kempen zakat di Shopee yang menawarkan 200 Syiling Shopee kepada 1,000 pembayar zakat terawal yang akan dipilih setiap hari dengan tempoh kempen bermula pada 22 Disember hingga 31 Disember ini.
“Kerjasama bersama Shopee ini akan memberi kemudahan kepada ramai pengguna Shopee yang beragama Islam untuk melaksanakan ibadah zakat khususnya di negeri Perak dan hasil kutipan zakat ini seterusnya akan diagihkan dan memanfaatkan golongan asnaf,” ujarnya.
Katanya, para pengguna boleh membayar zakat melalui ‘Deals, Top-ups & Bills’ dalam aplikasi Shopee dengan mengikuti langkah-langkah yang mudah.
#zakat #MAIPk #majlis agama Islam #Shopee #Shahrul Azam Shaari
;