MAINJ mula laksana proses pemulihan akidah ahli GISB

Bernama
November 18, 2024 18:00 MYT
Mohd Fared berkata ia dilakukan menerusi pendekatan sukarela oleh individu yang terlibat dan juga penguatkuasaan undang-undang. - Gambar fail
ISKANDAR PUTERI: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah mula melaksanakan proses pemurnian dan pemulihan akidah bekas ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.
Beliau berkata ia dilakukan menerusi pendekatan sukarela oleh individu yang terlibat dan juga penguatkuasaan undang-undang, dengan fokus utama untuk membawa kembali bekas ahli GISB kepada ajaran Islam sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"MAINJ juga bersetuju bantu beri saraan bulanan kerana kita tahu selepas dikenakan tindakan, perniagaan mereka tidak lagi dapat diusahakan. Oleh itu, MAINJ jaga kebajikan keluarga individu terlibat termasuk beri bantuan persekolahan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembayaran Zakat, Pembiayaan Bantuan Zakat MAINJ dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAINJ dan Agrobank di sini hari ini.
Turut hadir Penasihat MAINJ Datuk Nooh Gadot, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Hasrin Kamal Hashim.
Sementara itu Mohd Fared berkata fatwa berkaitan GISB akan dikeluarkan MAINJ selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, dengan kertas kerja mengenainya sedang diperhalusi dan akan disemak Jabatan Mufti Johor sebelum dibawa ke mesyuarat MAINJ.
Sebelum ini Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISB adalah sesat dan menyeleweng.
-- BERNAMA
#GISB #Johor #mainj #proses pemulihan
;