Main golf waktu PKP, tiga dihukum penjara dan denda

Abd Razak Mohd Ali
April 17, 2020 13:27 MYT
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama bermain golf di sebuah kelab golf di Batu Gajah, pada 11.30 pagi Khamis. - Foto Astro AWANI
Tiga lelaki yang ditahan ketika bermain golf dihukum penjara tiga hari dan denda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah, di sini pada Jumaat kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Low Teck San, 68, Tan Chee Kian, 59 dan Eugene Eong Yat Hoe, 37, mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara bersama di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.
Mahkamah turut menetapkan penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama bermain golf di sebuah kelab golf di Batu Gajah, pada 11.30 pagi Khamis.
Mereka didakwa di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fairoz Abd Mutalib manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Parveen Sharma Krishnan.
Pada Khamis, Astro AWANI melaporkan seorang pengurus kelab golf bersama dua lelaki ditahan ketika sedang leka bermain golf di sebuah kelab golf, di Batu Gajah.
Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah ketika menjalankan tugasaan rondaan penguatkuasaan PKP di sekitar kawasan tersebut.
#Astro Awani #coronavirus #COVID-19 #golf #koronavirus #mahkamah #Mahkamah Majistret #penjara #perintah kawalan pergerakan #PKP
;