Maimunah dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur mulai 15 Ogos

Hasimi Muhamad
Ogos 14, 2024 09:01 MYT
Maimunah, 63, merupakan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat). - FB Dr Zaliha Mustafa
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa mulai 15 Ogos ini.

Ringkasan AI
  • 1, Pelantikan Pertama Wanita Datuk Bandar Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif telah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke-15, menjadikannya wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi di ibu kota. Pengumuman ini dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa pada 14 Ogos 20241.
  • Latar Belakang Maimunah: Maimunah merupakan bekas Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat). Beliau berkhidmat sejak Januari 2018 dan menjadi wanita Asia pertama yang memegang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat.
  • Penggantian Kamarulzaman Mat Salleh: Maimunah menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh, yang tamat tempoh sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada hari yang sama. Kamarulzaman memegang jawatan tersebut sejak 17 April tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan penuh integriti.
"Ia bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera," katanya dalam kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Dr Zaliha menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Maimunah, 63, pernah memegang Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat).
Beliau dilantik sejak Januari 2018 dan menjadi wanita Asia pertama berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat.
Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).
Maimunah juga telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom; Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG) dan Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.
Beliau turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
#maimunah mohd sharif #dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur #Zaliha Mustafa #perkenan Yang di-Pertuan Agong