MAIK pantau penceramah, imam sampaikan dakwah bertentangan berkaitan COVID-19

Bernama
Mei 30, 2021 15:39 MYT
MAIK memandang serius perkara tersebut dan akan memantau situasi di negeri itu menerusi kerjasama rapat dengan ketua-ketua jajahan. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana penceramah atau imam yang menyampaikan ceramah yang bertentangan dengan dasar kerajaan berhubung COVID-19 dan vaksin.
Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan memantau situasi di negeri itu menerusi kerjasama rapat dengan ketua-ketua jajahan.
"Penceramah bertauliah ini mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat namun jika mereka menjadi penyebab ramai yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin, maka kita khuatir keadaan akan bertambah bahaya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penyerahan barangan keperluan barisan hadapan di lobi pejabat MAIK, Lundang, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Zulkifle menyerahkan sumbangan pelbagai barangan keperluan seperti pelindung muka dan cecair pembasmi kuman bernilai hampir RM10,000 bagi kegunaan petugas barisan hadapan dan petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pasir Mas kepada Ketua Jajahan Pasir Mas Hazmi Abdul Hamid.
-- BERNAMA
#penceramah #imam #vaksin #vaksinasi #rakyat #maklumat palsu #MAIK #siasatan
;