MAIK kutip lebih RM256 juta zakat tahun lepas

Bernama
Februari 29, 2024 05:00 MYT
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merekodkan peningkatan kutipan zakat lebih RM256 juta tahun lepas berbanding lebih RM228 juta pada tahun 2022.
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merekodkan peningkatan kutipan zakat lebih RM256 juta tahun lepas berbanding lebih RM228 juta pada tahun 2022.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan kutipan itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, kutipan itu terdiri daripada zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat harta dan lain-lain termasuk zakat pertanian, zakat emas dan sebagainya.
"Agihan program Asnaf Fakir dan Miskin telah mencatat pecahan terbesar dalam program agihan zakat apabila sejumlah lebih RM97 juta diagihkan pada tahun lalu seperti bantuan tetap bulanan, bantuan am yang diberikan secara sekali setahun dan bantuan rumah kediaman," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan Khas Kutipan dan Agihan MAIK Bagi Tahun 2023, di sini, pada Khamis, yang turut dihadiri Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Tengku Mohamad Rizam berkata, MAIK turut membelanjakan lebih RM6 juta kepada asnaf mualaf tahun lepas melibatkan sembilan bentuk program seperti Kelas Bimbingan Fardu Ain Mualaf, Bantuan Program Dakwah Mualaf, Elaun Guru Agama Orang Asli dan Bantuan Keraian kepada Mualaf.
"Selain itu, program di bawah Asnaf Amil, Al-Gharimin, Al-Riqab dan Ibnu Sabil pula mencatatkan nilai lebih RM34 juta pada tahun lalu," katanya. - BERNAMA
#MAIK #zakat #Kelantan #kutipan tertinggi
;