MAIK akan siasat 5 beradik tinggal di bangsal

Vivi Sumanti
Januari 18, 2018 15:06 MYT
Noor Muhibbah Abdullah, 39 tahun, bersama lima anaknya tinggal di sebuah bangsal usang berdindingkan kayu reput dan kain serta beratapkan zink. - Foto Astro AWANI
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan menghantar wakilnya bagi mendapatkan gambaran dan maklumat mengenai kedaifan lima beranak yang tinggal dalam sebuah bangsal di Kampung Panji seperti yang disiarkan oleh Astro AWANI dua hari lalu.
Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz memaklumkan, adalah menjadi tanggungjawab dan keutamaan MAIK untuk membantu golongan seperti ibu tunggal berkenaan termasuk keperluan mereka untuk memiliki rumah.
“Menjadi keutamaan kami di MAIK membantu rakyat susah yang memerlukan. Kita akan hantar wakil untuk menyiasat,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pengamal media di sini malam tadi.
Dua hari lalu Astro AWANI menyiarkan kisah ibu tunggal, Noor Muhibbah Abdullah, 39 tahun, bersama lima anaknya yang tinggal di sebuah bangsal usang berdindingkan kayu reput dan kain serta beratapkan zink.
BACA: Bangsal buruk 'istana' lima beranak
Sementara itu, MAIK turut memaklumkan, kutipan zakat pada 2017 meningkat 10.26 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kutipan tersebut meningkat sebanyak RM16.6 juta kepada RM179.3 juta tahun lepas berbanding RM162.7 juta pada 2016.
Jumlah pendapatan paling banyak adalah daripada zakat pendapatan iaitu RM107.06 juta pada 2017 dengan jumlah pembayar seramai 49,050 orang diikuti dengan zakat perniagaan, simpanan dan harta.
#MAIK #Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan #Noor Muhibbah Abdullah #Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz #zakat harta #zakat perniagaan #zakat simpanan
;