KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), akan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana individu yang mengingkari, melanggar, membantah, atau mengeji kewibawaan serta titah Sultan Kelantan sebagai Ketua Agama Negeri.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, dan tindakan penguatkuasaan atas kesalahan berkenaan akan dilaksanakan mengikut Seksyen 121 Enakmen MAIK 1994.

"Seseorang yang mengingkari, melanggar, membantah atau mengeji kewibawaan dan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Negeri ini, atau perintah Majlis, mana-mana jawatankuasa, ahli-ahli, pegawai-pegawainya, mana-mana Mahkamah, pegawai-pegawai yang mengetuai Mahkamah, penyelia agama, pegawai-pegawai masjid, atau mana-mana orang yang diberi kuasa, adalah bersalah atas suatu kesalahan.

"...dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, perkara ini dipertegaskan oleh kerana masih berlaku pelanggaran terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh MAIK, khususnya berkaitan dengan arahan aktiviti keagamaan di masjid, surau, musalla, dan madrasah.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan lagi apabila wujud kluster baharu dan penambahan kes sedia ada COVID-19 akibat ketidakpatuhan SOP yang dikeluarkan, dan MAIK amat mengharapkan kerjasama semua pihak terutama umat Islam mematuhi ketetapan-ketetapan yang telah dikeluarkan, dari semasa ke semasa.

"Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua," katanya.

- BERNAMA