MAIDAM Terengganu sasar kutipan zakat RM230 juta tahun ini
Astro Awani
April 18, 2022 12:51 MYT
April 18, 2022 12:51 MYT
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM230 juta pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Azrin Ahmad Mohd Adnan berkata jumlah itu meningkat sebanyak 15 peratus berbanding RM205 juta pada tahun 2021.
Menurut Azrin Ahmad, peningkatan kadar kutipan itu bagi menampung keperluan kira-kira 21,187 orang asnaf, fakir dan miskin di seluruh Terengganu.
“Kita tingkatkan kutipan zakat pada tahun ini kerana kita menyasarkan peningkatan sebanyak 15 peratus. Jadi kalau tahun 2021 itu ada peningkatan sebanyak 10.8 peratus, tetapi untuk tahun 2022 ini kita menyasarkan peningkatan 15 peratus.
“Jadi melihat kepada perkembangan ekonomi itu kita yakin insyaAllah kita akan dapat capai. Ini penting, kutipan ini perlu ditingkatkan kerana kita dapati bahawa terdapat keperluan yang semakin meningkat terutamanya dalam kalangan asnaf, fakir dan miskin,” katanya sewaktu hadir di kaunter zakat pandu lalu di Kompleks Sri Iman di sini hari ini.
Tambahnya lagi, bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sebanyak RM51 juta kutipan zakat telah direkodkan.
Menerusi jumlah itu sebanyak RM48.1 juta iaitu 96 peratus telah diagihkan kepada golongan memerlukan.