MAIDAM peruntuk zakat pendidikan RM68.1 juta

Bernama
Mei 29, 2023 17:37 MYT
Shaikh Harun berkata setakat Mei ini RM21 juta telah diagihkan kepada pelajar asnaf melalui 13 program termasuk bantuan awal pendidikan, bantuan pengajian Islam, bantuan pengurusan pondok dan bantuan Institusi Pendidikan Tinggi. - Gambar Bernama
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan RM68.1 juta untuk bantuan zakat pendidikan Terengganu bagi tahun ini.
Yang Dipertuanya Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata setakat Mei ini RM21 juta telah diagihkan kepada pelajar asnaf melalui 13 program termasuk bantuan awal pendidikan, bantuan pengajian Islam, bantuan pengurusan pondok dan bantuan Institusi Pendidikan Tinggi.
"MAIDAM menyediakan pelbagai program bagi membantu anak-anak asnaf mendapat pendidikan yang sempurna dalam suasana ekonomi yang mencabar.
"Bantuan pendidikan meliputi pelbagai peringkat dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dana Sumbangan Pendidikan Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) di sini, hari ini.
Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPM, Datuk Wan Ismail Wan Yusof berkata RM1 juta dana berjaya dikumpul menerusi YPM untuk diagihkan kepada pelajar asnaf yang layak tahun ini.
Menurut beliau lima program baharu telah diwujudkan di bawah YPM untuk membantu pelajar Terengganu mendapat pendidikan yang sempurna melalui wang sumbangan orang ramai.
"Lima program baharu termasuk Skim Anak Angkat, Prihatin@School, Prihatin@University, Boleh YPM Tolong serta Infra dan Fasiliti Pondok.
"Program Skim Anak Angkat bertujuan menyediakan wang saku harian kepada pelajar yang berdepan cabaran kewangan daripada peringkat sekolah rendah sehingga ke pengajian tinggi,"
Wan Ismail berkata untuk tahun depan pihaknya menyasarkan kutipan sumbangan RM10 juta daripada syarikat korporat dan orang persendirian yang peka serta prihatin dengan pendidikan anak-anak Terengganu.-- BERNAMA
#MAIDAM #sekolah rendah #ekonomi #pengajian islam
;