MAIDAM agih RM23 juta kepada 25,000 fakir miskin Ogos ini
Bernama
Julai 27, 2022 05:30 MYT
Julai 27, 2022 05:30 MYT
KUALA BERANG: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan mengagihkan bantuan khas 'sekali bayar' sejumlah RM23 juta untuk membantu kira-kira 25,000 asnaf fakir dan miskin di negeri ini bermula bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata ia adalah bantuan kewangan tertinggi yang pernah disalurkan MAIDAM setakat ini, iaitu antara RM800 hingga RM1,000 untuk setiap Ketua Isi Rumah (KIR) bergantung kepada jumlah tanggungan ahli keluarga.
"Sebelum ini, bantuan paling banyak pernah diberi RM700 sahaja, namun disebabkan kesan ekonomi sejak akhir-akhir ini, jumlah bantuan ini akan kita naikkan.
"Berdasarkan data MAIDAM, terdapat 21,197 keluarga asnaf fakir dan miskin di Terengganu setakat ini, namun faktor kenaikan inflasi dan kemelesetan ekonomi, kita menjangkakan terdapat penambahan lebih 3,000 keluarga baharu yang dikategorikan dalam golongan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika turun padang menyampaikan bantuan kepada lima keluarga yang menjadi mangsa ribut di Kampung Bukit Kolam di Ajil dekat sini, semalam.
Ahmad Azrin berkata MAIDAM telah mengagihkan bantuan RM300,000 kepada mangsa ribut dan kebakaran di seluruh Terengganu setakat tujuh bulan pertama tahun ini.
"Bagi pemilik rumah yang terbakar 100 peratus, kita berikan bantuan RM3,000, manakala yang terbakar sehingga 70 peratus diberi sebanyak RM2,000 dan kurang dari itu kita beri RM1,000 atau RM500.
"Untuk bantuan mangsa ribut pula, kita beri wang tunai RM300 untuk meringankan beban kewangan mangsa. Semua bantuan ini bukan menggunakan duit zakat, namun dari sumber kewangan am MAIDAM," katanya.
-- BERNAMA