MAICCI gesa kerajaan kaji semula dasar pengambilan semula pekerja asing
Bernama
Ogos 22, 2016 07:27 MYT
Ogos 22, 2016 07:27 MYT
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menggesa kerajaan mengkaji semula dasar pengambilan semula pekerja asing tanpa izin.
Setiausaha Agung, Datuk A.T Kumararajah berkata, majikan perlu membayar yuran pendaftaran berjumlah kira-kira RM1,800 kepada My E.G. Services Bhd (MyEG) bagi setiap pekerja asing tanpa mengetahui sama ada mereka akan berjaya mengambil pekerja terbabit atau tidak.
"Ini sangat mahal kerana jika seseorang majikan perlu mengambil semula 20 pekerja asing haram, dia perlu membayar RM36,000 dulu.
"Jika pihak berkuasa mendapati pekerja asing haram itu tidak layak, wang itu akan lesap," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pengurusan Ke-10 MAICCI di sini pada Isnin.
Dilaporkan di bawah dasar sekarang, majikan perlu membayar RM800 sebagai yuran pendaftaran, RM400 sebagai yuran pentadbiran, RM60 untuk permit kerja sementara, RM125 sebagai yuran pemprosesan dan RM500 sebagai kompaun, menjadikan jumlah kos permohonan itu berjumlah RM1,885, di samping tambahan RM300 yuran kompaun yang ditanggung pekerja asing itu sendiri.
Menurut laman web MyEG, sebuah syarikat yang dilantik Kementerian Dalam Negeri bagi menguruskan pekerja asing tanpa izin untuk program pengambil semula itu, majikan juga perlu membeli insurans dalam talian bagi setiap pekerja asing haram sebaik didaftar.
Mengenai isu ini, Datin Maheswary Ramasamy, seorang anggota MAICCI berharap, kerajaan akan mengkaji semula dasar ini dan mengurangkan yuran pendaftaran itu.
“Mungkin kita boleh membayar insurans selepas permohonan pekerja asing itu diluluskan," katanya.
Sementara itu, Presiden Tan Sri K. Kenneth Eswaran berkata, Malaysia memerlukan garis panduan jangka panjang mengenai isu ini bukan sahaja bagi menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini tetapi juga bagi menghapuskan masalah pekerja asing haram serta rasuah.
Program pengambilan semula pekerja asing haram berakhir pada 30 Jun lepas.
Ia menarik lebih 150,000 pekerja asing tanpa izin dan 45,000 majikan untuk mendaftar di bawah program berkenaan.
#A.T Kumararajah
#Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia
#MAICCI
#pekerja asing tanpa izin