Mahu wujudkan rakyat yang boleh selamatkan nyawa - KP Bomba

Hilal Azmi
Jun 12, 2018 08:15 MYT
Mohammad Hamdan ketika ditemui Astro AWANI semalam. - Astro AWANI/Hilal Azmi
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang baharu, Mohammad Hamdan Wahid mahu mewujudkan rakyat Malaysia yang dilengkapi dengan kemahiran menyelamatkan nyawa.
Katanya, JBPM telah menjalankan banyak perkara bagi mengurangkan tempoh bertindak bagi setiap panggilan kecemasan.
"Kita akan sentiasa berpegang kepada sasaran masa tindak balas (response time) dan keberkesanan terhadap masa tindak balas apabila berlakunya kes kecemasan.
"Kalau boleh, untuk jangka masa panjang, kita mahukan semua warga Malaysia ada kemahiran menyelamatkan nyawa.
"Ini penting kerana mereka yang mempunyai pengetahuan ini boleh membantu orang yang menghadapi kecemasan malah ia juga mampu memendekkan waktu tindak balas kita," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pemakaian Tanda Pangkat Ketua Pengarah JBPM pada Isnin.
Beliau dipakaikan tanda pangkat Ketua Pengarah JBPM selepas dilantik ke jawatan tersebut berkuat kuasa semalam.
Majlis pemakaian tersebut disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dengan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek.
Mohammad Hamdan menambah, beliau mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan bagi memikul tanggungjawab besar itu dalam usaha memoden dan mengantarabangsakan perkhidmatan bomba.

"Ini adalah satu penghargaan yang cukup besar diberikan kepada saya untuk memikul amanah yang sangat mencabar," katanya.
Mohammad Hamdan berkata, antara perkara yang akan diberi keutamaan ialah usaha untuk memartabatkan dan memperkasakan perkhidmatan kebombaan serta keselamatan kebakaran.

Hari ini merupakan hari pertama Ketua Pengarah @bombaJBPM , Mohammad Hamdan Wahid bertugas. Baru saja selesai majlis Pemakaian Tanda Pangkat Ketua Pengarah JBPM oleh @ybz99 di pejabat @kpkt_gov Putrajaya@501Awani pic.twitter.com/DqFwSVwQ2h

— HilalAzmi (@HilalAzmi) June 11, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Amanah #bomba #kebakaran #kerajaan #Ketua Pengarah JBPM #Mohammad Hamdan Wahid #Pengarah Bomba baharu
;