Mahu tukar Ketua Pembangkang perlu ada konsensus Pakatan Harapan - Howard Lee
Firdaus Azil
Disember 17, 2020 16:27 MYT
Disember 17, 2020 16:27 MYT
KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan melibatkan dasar Pakatan Harapan, termasuk menukar kepimpinan, perlu dicapai secara konsesus oleh semua parti dalam gabungan itu kata Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan Howard Lee.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Perak itu berkata, prinsip itu merupakan asas kekuatan Pakatan Harapan, dan ia harus sentiasa dipegang bagi mengelakkan konflik yang boleh menggugat kerjasama sedia ada.
“Sudah tentu sejak penubuhan Pakatan Harapan, malah kalau kita kembali ke zaman Pakatan Rakyat pun kita telah mengambil pendekatan di mana segala keputusan dasar, segala keputusan yang besar, dibuat secara konsensus.
“Dan saya rasa sekiranya ada, dan sekiranya perlu apa jua pertukaran atau perbedaan atau pindaan cara kerja, khususnya apa yang disebut tadi pertukaran kepimpinan, perlu dibincangkan dan dicapai konsensus sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya lagi.
Howard berkata, soal untuk menukar Ketua Pembangkang, seperti yang diutarakan beberapa pihak sebelum ini, tidak sepatutnya timbul.
Katanya, isu kegagalan atau kejayaan sebarang usul merupakan lumrah dan fitrah dalam politik.
“Jadi bagi saya isu itu tidak timbul sebenarnya. Bagi saya kalau kita berjaya kita untung, kalau kita gagal kita semua gagal. Itu kesepakatan dalam Pakatan Harapan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Howard berpandangan Pakatan Harapan perlu mengubah objektif utama gabungan itu.
Ujarnya, perkara itu dilihat perlu selepas gabungan berkenaan tidak berjaya menjatuhkan Perikatan Nasional di Dewan Rakyat.
"Sudah tentu apa objektif baharu yang berbeza ini? Apakah ini perlu dirungkaikan dibincangkan secara mendalam, bermusahabah di peringkat tertinggi, peringkat negeri malah ke akar umbi? Perbincangan itu harus dilakukan sebelum saya beri komen (lanjut).
"Tapi saya yakin perkara ini akan dibawa berbincang segera malah perkara ini sedang berlaku. Saya mengalu-alukan perbincangan yang muhasabahkan diri dan membawa sedikit tekad, pembaharuan usaha kita ke arah apa yang kita hendakkan,” katanya lagi.
#Howard Lee
#DAPSY
#Ketua Pembangkang
#Anwar Ibrahim
#krisis kepimpinan PH
#Pakatan Harapan
#Dewan Rakyat
#politik
#pembangkang
#rakyat