Mahu lapor bos merokok di pejabat tanpa jejaskan kerja? Ada caranya, kata pakar

Bernama
Jun 30, 2022 08:00 MYT
Penguatkuasaan masih belum memuaskan dalam hal mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk pekerja dan orang awam. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Saban hari di pejabat, Raihana (bukan nama sebenar) berdepan kesukaran bernafas.
Dia yang dijangkiti COVID-19 pada Februari ketika varian Omicron mengganas di Malaysia dengan kes harian melebihi 30,000, bergelut untuk kembali cergas.
Sebagai penghidap asma, bukan mudah untuk Raihana, 40, pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus yang meninggalkan parut pada paru-paru itu. Namun yang menambah sengsaranya dan juga rakan sekerja yang rata-rata pernah dijangkiti COVID-19 pada masa ini adalah bos mereka yang berdegil merokok di dalam pejabat.
Lebih malang lagi menurut Raihana, aduan tidak rasminya kepada jabatan sumber manusia (HR) syarikat agar tindakan diambil terhadap ketuanya itu ibarat "garam kami tidak masin padanya".
"Kami sesak nafas selain batuk berpanjangan, kami jadi sangat sensitif kepada asap rokok dan habuk," kongsi Raihana dengan Bernama.
"Ada rakan sekerja sampai kena minta bekerja dari rumah selama sebulan disebabkan dia terlalu sensitif dengan asap rokok sehinggakan tidak boleh buat kerja," tambahnya lagi.
Sekalipun Malaysia telah mengambil langkah bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk pekerja dan orang awam, penguatkuasaan masih belum memuaskan. Hanya sekali-sekala penguat kuasa Kementerian Kesihatan menjalankan operasi di pejabat-pejabat yang dilengkapi sistem penyaman udara berpusat dan mengenakan denda terhadap mereka yang "ditangkap" merokok di dalam bangunan.
Malaysia menjadikan aktiviti merokok di pejabat yang dilengkapi sistem pendingin hawa berpusat sebagai satu kesalahan menurut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang berkuat kuasa pada 21 Julai 2010. Selain itu, Seksyen 5(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 juga mewajibkan majikan "memastikan, setakat yang boleh dilaksanakan, keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja untuk semua pekerjanya".
Terdapat kira-kira 4.8 juta perokok di Malaysia dengan majoritinya adalah lelaki. Menurut laporan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Malaysia pada 2020, hampir separuh daripada penduduk lelaki di negara ini merokok.
Michael Cheah, peguam yang pakar dalam undang-undang buruh serta hal ehwal industri, berkata merokok boleh mengancam kesihatan orang lain, bermakna pekerja ada hak untuk mengambil tindakan undang-undang di bawah OSHA.
"Tidak boleh ada sebarang risiko yang mengancam kesihatan dan keselamatan seseorang. Tempat kerja seseorang itu juga mesti mempunyai persekitaran yang mencukupi untuk menjamin kesejahteraannya apabila dia menjalankan tugasnya," kata beliau.
Merokok boleh menyebabkan perokok menghidap penyakit serius seperti kanser, penyakit jantung, angin ahmar dan penyakit berkaitan paru-paru. Namun, bahaya asap rokok tidak terhenti setakat itu. Asap rokok yang disedut oleh bukan perokok boleh meningkatkan risiko dia menghidap kesemua penyakit yang berkenaan sebanyak 20 hingga 30 peratus.
Sedar akan hal tersebut, Raihana dan rakan sekerjanya telah mencuba pelbagai cara bagi menghentikan tabiat ketua mereka itu, termasuk menggantung papan tanda "Dilarang Merokok" di dinding selain memintanya menutup pintu bilik apabila merokok.
Semua itu tidak berhasil dan akhirnya mereka memutuskan untuk melaporkan perkara berkenaan kepad HR syarikat. Bagaimanapun kata Raihana, hingga kini HR keberatan untuk mengambil tindakan lanjut tanpa bukti bergambar dan aduan rasmi, menyebabkan dia dan rakan sekerja terus menjadi perokok pasif semasa bekerja.
LANGKAH DEMI LANGKAH
Pakar keselamatan pekerjaan bersetuju bahawa HR adalah tempat pertama yang harus dituju oleh pekerja bagi menangani masalah berkaitan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja. Bagaimanapun kata pakar, tindakan HR meminta bukti sebelum menjalankan siasatan berhubung pelanggaran aspek kesihatan dan keselamatan itu adalah salah.
Dalam dunia yang ideal, HR akan membuat langkah susulan daripada laporan Raihana, bukan meminta wanita itu dan rakan sekerjanya menyiasat bagi pihak mereka.
Pakar tadbir urus korporat Rosman Johar Abdullah memberitahu Bernama, HR bertanggungjawab membuat susulan pada kadar segera terhadap sebarang aduan yang dikemukakan oleh pekerja, dan dalam kes Raihana, mereka hanya perlu pergi ke pejabat wanita itu dan melihat dengan mata sendiri.
"Adalah salah bagi HR untuk tidak menjalankan siasatan," katanya.
"Jika saya ada maklumat, saya hanya perlu berikan maklumat itu kepada anda... sudah cukup. Selebihnya mesti dijalankan oleh pihak yang menerima aduan," tambah Rosman.
Beliau berkata sebarang bukti yang dikemukakan oleh pengadu hanya berperanan menyokong kes terhadap pelaku, bukan syarat untuk melancarkan siasatan. Seterusnya, selepas mengesahkan tabiat pelaku merokok berhubung puntung di dalam ruang pejabat yang tertutup, HR harus memberikan peluang kepadanya menjelaskan sebab dia berbuat demikian.
Jika dia gagal memberikan penjelasan, HR perlu menentukan langkah seterusnya termasuk memberikan amaran, menurunkan pangkat atau mengenakan denda, atau memecatnya.
HR sepatutnya menyediakan struktur untuk syarikat dan memastikan kelancaran operasi termasuk mengambil dan mengekalkan pekerja, memastikan produktiviti serta mematuhi undang-undang buruh. Keengganan bertindak bagi melindungi kesihatan pekerja boleh menurunkan produktiviti mereka dan merugikan syarikat, sekali gus bertentangan dengan objektif HR.
Namun, dalam kehidupan sebenar, jarang HR memenuhi matlamat mereka yang melangit itu.
Pakar kesihatan pekerjaan Dr Ismaniza Ismail tidak terperanjat jika didapati banyak HR syarikat gagal melindungi pekerja mereka.
"Jika anda fikir balik, HR berkhidmat untuk bos bukan? Dalam tetapan normal, itulah tanggapan orang ramai. Namun dari segi etika, ini salah, (dan) kita tidak boleh nafikan hakikat ini," katanya.
Kesemua pakar terbabit berpandangan pekerja harus membawa isu itu ke peringkat lebih tinggi jika HR enggan menyelesaikan masalah tersebut.
"Jika HR tidak mengambil tindakan, saya rasa pekerja tidak ada pilihan melainkan membawa isu tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan, kerana tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pekerja," ulas Cheah.
LINDUNGI DIRI SENDIRI
Setakat ini Raihana dan rakan sekerjanya tidak bercadang membawa perkara itu kepada pihak berkuasa. Mereka tidak yakin HR akan merahsiakan identiti mereka selain bimbang ketua akan bertindak balas.
"Saya tahu perangai bos saya macam mana. Kalau dia tahu ada 'whistleblower' di situ, anda boleh bayangkan (apa yang berlaku)," katanya, menambah mereka bimbang diturunkan pangkat atau dipindahkan ke tempat lain jika ketua mereka tahu tentang hal itu.
Menurut pakar, adalah salah di sisi undang-undang jika majikan atau ketua membalas dendam terhadap pekerja yang membuat aduan tentang mereka. Bagaimanapun pakar mengaku, realiti selalunya tidak sama dengan jangkaan.
Rosman yang mengetuai kumpulan integriti dan tadbir urus di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, berkata kebimbangan pekerja berhubung tindakan balas dendam itu berasas.
"Khususnya jika pihak yang didakwa atau pelaku kesalahan tersebut berkawan dengan orang-orang di HR, sudah pasti orang-orang di HR tidak mahu layan (aduan)," katanya.
Bagaimanapun itu bukanlah penamat. Menurut Cheah, pekerja boleh membuat laporan terus kepada Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) yang akan menjalankan siasatan mereka sendiri.
Pada peringkat ini, pekerja harus mempunyai bukti yang cukup untuk menyokong kes mereka, termasuk rekod perubatan yang menunjukkan kesihatan mereka telah terjejas.
Cheah memberitahu Bernama pekerja juga boleh mengumpulkan sebarang bukti yang dilihat bersifat balas dendam sekiranya mahu membawa kes mereka ke mahkamah perindustrian andainya dipecat secara tidak adil.
"Dia perlu rekodkan semua bukti tindakan balas dendam yang berlaku selepas membuat aduan," kata Cheah.
Selain tindakan lazim seperti memberi markah penilaian yang teruk, diturunkan pangkat atau dipindahkan ke tempat lain, perbuatan balas dendam boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk. Menurut Cheah, ada yang dilakukan secara halus seperti mengubah skop tugas, iaitu perlu melakukan kerja di luar bidang atau kepakaran, ataupun menetapkan objektif yang mustahil untuk dicapai.
Beliau merujuk filem 'Devil Wears Prada" bagi menjelaskan senario itu, yang mana watak bos dalam filem tersebut, Miranda menuntut pembantunya Andy mendapatkan naskhah terkini siri Harry Potter yang belum lagi diterbitkan untuk anak perempuannya dalam tempoh 24 jam.
"Saya rasa yang paling biasa berlaku ialah mewujudkan keadaan yang sukar untuk pekerja melaksanakan tugas mereka," katanya.
Rosman yang bersetuju dengan pandangan itu berkata keadaan tersebut akan mewujudkan persekitaran toksik buat pekerja berkenaan.
"Mereka boleh buat perkara-perkara yang dari segi psikologi boleh menyebabkan anda berasa tidak berdaya dan akhirnya berhenti kerja," kata Rosman.
Dr Ismaniza yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, mengakui risiko yang didepani oleh mereka yang membuat aduan tentang majikan dan ketua.
Bagaimanapun katanya amat penting untuk pekerja bersuara dan mempertahankan aspek kesihatan dan keselamatan mereka. Tambahnya, cara terbaik untuk mengurangkan risiko adalah dengan memastikan semua pekerja bersatu.
"Memang tidak boleh dielak, seseorang harus jadi kambing hitam. Namun dalam kes ini, kita tidak mahu hanya seorang (jadi kambing hitam). Kalian harus bersatu. Biar bos tahu yang kalian tidak suka dengan apa yang dia buat," katanya.
-- BERNAMA
#tabiat merokok #tempat awam #kesihatan #pejabat
;