Mahu jumpa pemilik sebenar sebelum pulang ikan kelisa

Bernama
Mei 31, 2024 11:19 MYT
Tular di media sosial baru-baru ini tentang penduduk Kampung Tengah, Renggam yang menemui banyak ikan kelisa di sungai dan parit kampung terbabit, yang dilaporkan berasal dari sebuah kolam ternakan yang pecah. - Gambar hiasan
KLUANG: Penduduk Kampung Tengah, Renggam, dekat sini mahu berjumpa pemilik ikan kelisa sebelum memulangkan ikan yang mereka tangkap selepas haiwan itu terlepas dari kolam ternakan.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Renggam A Sani Palal yang mewakili penduduk di kawasan itu berkata, kelisa berkenaan ditangkap di kawasan anak sungai dan parit di kampung terbabit.
"Kami penduduk berharap pemilik ikan kelisa ini dapat bertemu dengan penduduk kampung dan berbincang untuk proses memulangkan ikan terbabit.
"Kita akan bermesyuarat dengan penghulu, ketua kampung dan juga wakil pemilik kolam ikan berkenaan bagi membincangkan perkara itu dalam masa terdekat," katanya.
Sementara itu, penternak ikan Ng Ah Phau mendakwa ikan berkenaan adalah miliknya yang diternak di 13 kolam di Kampung Tengah.
"Kerugian dialami bernilai jutaan ringgit apabila 15,000 ekor ikan arowana (kelisa) induk yang dipelihara sejak 30 tahun hanyut apabila kolam ikan berkenaan pecah," katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid menasihatkan mereka yang telah mengambil ikan berkenaan untuk memulangkan kepada pemiliknya.
Sebelum ini, tular di media sosial penduduk di kampung "kenduri" dengan memasak ikan yang berharga kira-kira RM10,000 seekor.
-- BERNAMA
#kelisa #kolam pecah #pemilik ikan #renggam