Mahmud Abu Bekir berjaya tangguh bayaran mutaah RM30 juta

Bernama
Mac 30, 2016 17:46 MYT
Mahkamah mengambil kira kesukaran Mahmud Abu Bekir selaku pemohon untuk membayar jumlah mutaah yang besar dalam masa singkat. - Foto Bernama
Anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib hari ini berjaya menangguhkan pelaksanaan perintah pembayaran mutaah berjumlah RM30 juta terhadap bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Muhamad Abdul Karim Wahab membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh ahli perniagaan itu melalui peguamnya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Dalam penghakimannya, katanya mahkamah membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan keseluruhan fakta dan hujahan yang dikemukakan bagi mengelak kemudaratan kepada kedua-dua pihak.
Katanya, mahkamah mengambil kira kesukaran Mahmud Abu Bekir selaku pemohon untuk membayar jumlah mutaah yang besar dalam masa singkat iaitu secara ansuran selama tiga bulan bermula 31 Mac ini.
"Mahkamah juga mengambil kira faktor jumlah perlu dibayar adalah besar dan memaksa pemohon membuat pinjaman, yang akan menyebabkan kerugian yang tidak boleh diperolehi semula atau harta benda yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.
"Selepas berpuas hati dengan segala fakta dikemukakan, mahkamah membenarkan permohonan penggantungan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan," kata hakim.
Pada 10 Mac lalu, Muhamad Abdul Karim memerintahkan Mahmud Abu Bekir membayar jumlah tersebut selepas memutuskan bahawa Shahnaz, 53, berhak menerima tuntutan (RM30 juta) selain mengambil kira kesedihan akibat diabaikan lebih 10 tahun oleh Mahmud Abu Bekir.
Pada 9 Jun 2011, Shahnaz merupakan kakak kepada penyanyi ratu jazz negara, Sheila Majid, diwakili peguam Dr Mohd Rafie Shafie memfailkan tuntutan mutaah tersebut sebanyak RM100 juta.
Pasangan itu, yang berkahwin pada 9 Jan 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 23, namun pada pada 11 Mei 2011 mereka bercerai dengan talak satu.
Terdahulu dalam prosiding itu, Muhamad Abdul Karim berkata mahkamah berpendapat laporan akhbar dan beberapa portal lain berhubung kenyataan Shahnaz yang menyatakan hasratnya untuk mendermakan satu pertiga daripada jumlah mutaah itu kepada golongan tidak bernasib baik selain membayar kos guaman, dilihat subjudiskan dan mempersendakan keputusan mahkamah.
"Selain itu, kenyataan tersebut dilihat boleh menimbulkan prejudis kepada Mahmud Abu Bekir sekiranya rayuan Shahnaz dibenarkan kerana jumlah wang tersebut telah dipindah milik kepada Shahnaz," katanya.
Hakim itu juga turut menegur peguam-peguam yang banyak menggunakan kes-kes sivil daripada kes-kes syariah sebagai panduan dan rujukan mereka dalam mengendalikan kes itu.
"Namun bukanlah bermaksud bahawa peguam-peguam tidak boleh menggunakannya (kes-kes sivil) sebagai rujukan tetapi memandangkan kes ini didengar di mahkamah ini ia menjadi kewajaran untuk mengutamakan kes syariah sebagai rujukan," katanya.
#Anak Yang Dipertua Negeri Sarawak #Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Tun Abdul Taib #pembayaran mutaah #Shahnaz Abdul majid
;