Mahkota Keewon hadir bersama tanggungjawab besar

Ruzaini Zulkepli
Jun 1, 2018 20:23 MYT
Hosiani atau lebih mesra dengan panggilan Keewon itu tetap merendah diri dan menggangap kemenangannya juga mewakili semua peserta yang bertanding dalam Unduk Ngadau berkenaan.
Hosiani James Jaimis masih tidak menyangka apabila namanya diumumkan sebagai pemenang ratu cantik Unduk Ngadau bersempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2018, semalam.
Sebaik sahaja terdengar namanya bergema di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA), Penampang, gadis berusia 25 tahun mewakili daerah Inanam itu masih terkejut apabila menyedari dia baru dinobatkan dalam pertandingan berprestij peringkat negeri tersebut apatah lagi sekali gus mewakili sumandak (gadis) Kadazandusun Murut (KDM) bagi edisi tahun 2018 kali ini.
Ketika ditemui, Hosiani atau lebih mesra dengan panggilan Keewon itu tetap merendah diri dan menggangap kemenangannya juga mewakili semua peserta yang bertanding dalam Unduk Ngadau berkenaan.
Tambahnya, dia juga beranggap kefasihannya berbahasa ibunda iaitu Dusun menjadi salah satu faktor kemenangan dalam pertandingan tersebut dan amat bersyukur dididik dari kecil untuk berdialek bahasa etnik.
Lahir pada tahun 6 September 1993 di daerah Tambunan, Keewon yang bekerja sebagai pengacara dan pelakon di arena hiburan tempatan itu beranggapan gelaran Unduk Ngadau diberikan kepadanya akan digalas sebaik mungkin demi menaikkan martabat KDM dari semua peringkat untuk lebih dikenali di masa depan.
"Secara jujur memang tidak pernah terfikir pun menang kerana saya kenal diri saya macam mana, tetapi terima kasih kepada Tuhan.
"Jelas sekali penggunaan bahasa ibunda dalam kedua-dua soalan, yang mana soalan kedua itu diberi kelonggaran untuk berbahasa melayu tetapi saya pilih berbahasa ibunda," katanya.
Keewon berkata demikian ketika ditemui di Kota Kinabalu, hari ini.
Mengalahkan 45 peserta Unduk Ngadau yang lain, gadis sunti itu membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM86,050.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai tanggungjawab yang bakal digalasnya sebagai Unduk Ngadau, Keewon berkata dia berjanji akan menunaikan semua keperluan sebagai wakil dan semangat 'Huminodun' dalam merencana semua aktiviti nanti.
"Selepas ini, Keewon akan ada tanggungjawab bukan sekadar gelaran serta selepas ini banyak aktiviti yang saya jalankan dan inilah tanggungjawab saya sebagai Unduk Ngadau untuk semua.
"Harapan saya dengan kemenangan semalam itu akan menjadi inspirasi orang ramai bahawa penguasaan bahasa ibunda sangat penting," katanya.
#Hosiani James Jaimis #Inanam #Kadazandusun Murut #KDCA #KDM #Keewon #Pesta Kaamatan #ratu cantik #sumandak #unduk ngadau
;