Mahkamah tolak saman Tajuddin terhadap Khalid Samad, NSTP, KiniTV

Bernama
Februari 22, 2022 20:51 MYT
Latifah berkata komen Khalid berlaku berikutan sikap keterlaluan Tajuddin semasa prosiding di Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman difailkan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad, The New Straits Time Press (M) Berhad (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd berhubung kenyataan fitnah pada sidang media di lobi Parlimen, enam tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu setelah mendapati kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Khalid selaku defendan pertama tidak bersifat fitnah dan dibuat berdasarkan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat.
"Defendan kedua (NSTP) dan ketiga (KiniTV) telah membuat terbitan dengan bona fide (niat yang baik) tentang perkara kepentingan awam dan terbitan yang dibuat adalah adil saksama dan tepat. Oleh itu, tuntutan plaintif terhadap kesemua defendan adalah ditolak dan mengambil kira kepentingan awam tiada kos diberikan," katanya.
Latifah dalam penghakimannya berkata komen Khalid berlaku berikutan sikap keterlaluan plaintif (Tajuddin) semasa prosiding di Parlimen yang menggunakan kenyataan yang tidak mengikut peraturan Parlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.
Beliau berkata ini disokong oleh keterangan keterangan saksi-saksi Ahli-Ahli Parlimen yang memberi keterangan di mahkamah semasa perbicaraan.
"Mahkamah juga berpuas hati bahawa komen yang dibuat oleh defendan pertama pada sidang media pertama adalah komen yang berpatutan, berdasarkan kepercayaan yang jujur dan tanpa niat jahat yang berdasarkan fakta-fakta yang berada dalam pengetahuan defendan pertama sendiri," katanya.
Latifah berkata kes itu berlaku berpunca dari plaintif (Tajuddin) semasa di Parlimen pada 21 Nov 2016 yang telah mengeluarkan satu kenyataan yang seksis dan menggunakan bahasa 'yang tidak mengikut peraturan Parlimen' di dalam ucapannya terhadap Ahli Parlimen Seputeh yang telah mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang terutamanya Khalid.
Beliau berkata mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk plaintif mengungkapkan perkataan kesat tersebut kepada Ahli Parlimen Seputeh yang pada masa itu tidak timbul apa-apa provokasi dan tiada kena mengena dengan persoalan yang sedang diperbahaskan ketika itu.
"Semasa menjawab kepada wartawan, plaintif menyatakan bahawa dia menyebut nama keluarga Teresa Kok dan tidak ada motif lain," katanya dan menambah bahawa alasan plaintif semasa prosiding Parlimen bahawa kenyataan itu hanya merujuk kepada nama Ahli Parlimen wanita itu adalah tidak berasas jika diambil kira konteks keseluruhan kenyataan tersebut dibuat.
Menurut Latifah, tindakan plaintif yang enggan menarik balik kenyataan seksis tersebut dan memperli serta mengejek Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah menimbulkan provokasi terhadap Khalid.
"Mahkamah juga berpendapat kenyataan yang dikatakan fitnah oleh defendan pertama (Khalid) bukanlah suatu fitnah jika diambil pada konteks ketika itu dan perkataan 'sial' yang digunakan defendan pertama adalah akibat daripada provokasi plaintif," katanya.
Latifah berkata kenyataan yang dibuat oleh plaintif yang ketika itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani adalah tidak wajar dan mencemarkan institusi Parlimen yang merupakan antara institusi tertinggi negara.
Beliau berkata mahkamah juga berpandangan kebebasan bersuara dan perlindungan reputasi terutama dalam Sidang Parlimen yang dihormati perlu diberi perhatian walaupun imuniti diberikan.
Latifah berkata mahkamah bersetuju bahawa tindakan defendan kedua (NSTP) hanya melaporkan tentang kejadian secara adil dan tidak bersifat fitnah kerana terdapat justifikasi munasabah terhadap laporan yang dibuat kerana ia dilindungi oleh perlindungan bersyarat.
Bagi defendan ketiga (KiniTV) pula, yang telah menyiarkan dua video pada sidang media, yang diterbitkan pada 24 Nov 2016, beliau berkata mahkamah berpuas hati tiada sebarang sifat fitnah dalam kedua-dua video itu.
"Liputan dalam video tersebut oleh defendan ketiga adalah neutral dan menjadi tanggungjawab profesional kewartawanan untuk melaporkan berita yang neutral dan benar terutama melibatkan kepentingan awam," katanya yang membuat keputusan itu menerusi emel hari ini.
Pada 26 April 2017, Tajuddin memfailkan saman itu mendakwa, Khalid mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 Nov 2016.
Tajuddin mendakwa, kenyataan pertama Khalid diterbitkan NSTP melalui artikel bertajuk 'Fury over Deputy Minister's Remark' pada 22 Nov 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 Nov tahun sama manakala kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di YouTube yang boleh diakses oleh orang ramai.
Tajuddin mendakwa kedua-dua kenyataan itu antara lain bermaksud, beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen dan bertindak bertentangan dengan ajaran serta budaya Islam.
-- BERNAMA
#Tajuddin Abdul Rahman #Khalid Samad #saman fitnah #mahkamah
;