Mahkamah tolak saman RM1.02 bilion Barakah terhadap Petronas

Bernama
April 1, 2022 08:30 MYT
Keputusan itu disampaikan melalui prosiding dalam talian selepas perbicaraan penuh dijalankan selama setahun yang lalu. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak saman RM1.02 bilion oleh Barakah Offshore Petroleum Bhd (Barakah) dan anak syarikat milik penuhnya PBJV Group Sdn Bhd (PBJV) terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB).
Barakah menyaman kedua-dua syarikat itu berhubung penggantungan lesen PBJV di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).
Hakim Datuk Aliza Sulaiman memutuskan Petronas tidak bertanggungjawab terhadap pemegang lesennya dalam melaksanakan kuasanya untuk menggantung lesen di bawah PDA.
"Dalam apa jua keadaan, Petronas tidak melanggar sebarang kewajipan dalam menggantung lesen PBJV di bawah PDA," kata hakim itu.
Beliau juga mengarahkan Barakah dan anak syarikatnya itu membayar kos RM400,000 kepada kedua-dua syarikat tersebut.
Petronas dan PCSB diwakili peguam Nagarajah Mutthiah, Kenny Lam Kian Yip dan Jennie Liow Sue Xian manakala plaintif diwakili oleh Ismail Ariffin dan Saffa Ismail.
Keputusan itu disampaikan melalui prosiding dalam talian selepas perbicaraan penuh dijalankan selama setahun yang lalu.
-- BERNAMA
#Petronas #Barakah #Mahkamah Tinggi #saman
;