Mahkamah tolak saman bekas ADUN Teratai terhadap Tan Kok Wai

Bernama
Ogos 19, 2015 17:51 MYT
Tan Kok Wai menyambut baik keputusan itu dan berkata, "keadilan telah ditegakkan."
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman fitnah bekas anggota dewan undangan negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Ha terhadap pemangku pengerusi kebangsaan DAP, Tan Kok Wai.
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera berkata mahkamah mendapati, berdasarkan pertimbangan kemungkinan, Lee gagal membuktikan kesnya terhadap Tan dan memerintahkannya membayar kos RM40,000 kepada defendan.
Lee memfailkan samannya pada 12 Nov 2013 dengan mendakwa bahawa pada 23 April 2013, iaitu hari ketiga kempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-13, Tan membuat kenyataan berbaur fitnah mengenai beliau kepada pemberita.
Beliau mendakwa defendan menuduhnya terlibat dengan rasuah, menyalah guna kuasa dan menyeleweng wang pada satu sidang akhbar di pasar Taman Muda di kawasan pilihan raya dewan undangan negeri Teratai.
Lee juga mendakwa kenyataan Tan, yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin DAP, disiarkan portal berita berbahasa Cina dan merosakkan kedudukan, kewibawaan, integriti dan nama baiknya sebagai seseorang yang bergiat dalam politik.
Dalam penghakimannya, Vazeer Alam berkata plaintif gagal membuktikan bahawa defendanlah yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berbaur fitnah itu.
Kata beliau, keterangan menunjukkan bahawa defendan mengedar salinan dapatan Jawatankuasa Disiplin (DC) kepada pemberita dan membuat beberapa kenyataan.
"Dapatan itu sebenarnya dikeluarkan berikutan cabaran yang dibuat plaintif agar ia dikeluarkan kepada umum," kata Vazeer Alam.
Beliau berkata pemberita menulis laporan mereka berdasarkan kandungan dapatan itu.
"Berdasarkan kepada keseluruhan keterangan, saya berpuas hati bahawa kandungan dapatan DC itu sebenarnya adalah dapatan DC dan tiada keterangan dengan niat jahat diberi oleh defendan ketika mengumumkan dapatan DC itu bagi menyahut cabaran plaintif agar defendan berbuat demikian," katanya.
Vazeer Alam berkata, malah, kalaulah sekali pun terbuki bahawa defendan menyiarkannya, penyiaran dapatan itu dibuat di bawah "perlindungan bersyarat".
Bercakap kepada pemberita kemudian, Tan menyambut baik keputusan itu dan berkata, "keadilan telah ditegakkan."
Bagaimanapun, Lee berkata beliau akan merayu terhadap keputusan mahkamah itu "dengan secepat mungkin".
Tan diwakili peguam Lewis Lim Tiong Wee dan Eric Tan, manakala Lee diwakili peguam Michael Wong dan Ravin Woodhull.
#ADUN #DAP #jenice lee ying ha #saman #Tan Kok Wai #teratai
;