PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan seorang ibu yang mualaf dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral dua kanak-kanak.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam keputusan sebulat suara berkata Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes guru tadika M. Indira Ghandi.
"Kami berpendapat bahawa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan ini terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi.
"Kami mendapati tiada kesilapan rayuan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi. Oleh itu kami mendapati tiada merit dalam rayuan ini. Kedua-dua rayuan ditolak. Keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan. Tiada perintah mengenai kos," kata Hakim Mohamad Zabidin pada prosiding secara maya hari ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan.
Pada 16 Okt 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh bapa kepada kanak-kanak itu, seorang penganut Buddha, untuk membatalkan perakuan penukaran agama Islam secara unilateral terhadap dua anaknya yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil oleh wanita tersebut, yang beragama Buddha ketika itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi ketika itu (sekarang Hakim Mahkamah Rayuan) berkata tidak menjadi pertikaian bahawa sijil pertukaran agama kanak-kanak itu dikeluarkan tanpa kebenaran bapa kanak-kanak berkenaan.
Hakim Azizah berkata beliau terikat dengan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada Januari 2018 yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil boleh memeluk agama Islam.
Dalam kes Indira, seorang ibu beragama Hindu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman yang sama untuk mencabar tindakan bekas suaminya seorang mualaf yang telah membuat penukaran agama Islam secara unilateral terhadap tiga anaknya.
Dalam prosiding hari ini, bapa kepada dua kanak-kanak itu telah memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan penukaran agama dua anaknya yang memeluk agama Islam pada Mei 2016, tanpa pengetahuan dan persetujuannya.
Identiti keluarga itu tidak didedahkan selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pada 21 Mei 2018.
Pada 14 Sept 2018 Mahkamah Rayuan memberikan hak penjagaan penuh kepada si bapa, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memberikan hak penjagaan kepada si ibu.
Perintah itu kekal selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan si ibu untuk kebenaran mengemukakan rayuan.
Peguam Nizam Bashir mewakili Pendaftar Muallaf, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mewakili Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan dan kerajaan.
Peguam K. Shanmuga mewakili si bapa, manakala peguam Arham Rahimy Hariri mewakili ibu mualaf itu.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Oct 27 2021

Keputusan sebulat suara berkata Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes guru tadika M. Indira Ghandi. - Gambar fail/BERNAMA
Tarif AS yang tinggi sukarkan pelaburan - Jepun
Hampir 90% syarikat Jepun menjangkakan dasar Trump akan menjejaskan perniagaan.
Saham Asia meningkat, penangguhan tarif naikkan sentimen
Pada Rabu, White House berkata Trump akan mengecualikan pembuat kereta daripada tarif 25% ke atas Kanada dan Mexico selama sebulan, selagi mereka mematuhi peraturan perdagangan bebas sedia ada.
E-dagang: Wanita b40 masih hadapi cabaran, perlu sokongan berterusan
Statistik menunjukkan wanita daripada kumpulan tersebut masih menghadapi cabaran besar dalam memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam ekonomi digital.

Pemandu komuter mengaku tidak bersalah rompak wanita guna pisau
Seorang pemandu komuter mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak dengan bersenjatakan pisau di sebuah perpustakaan desa.
RUU CCUS: Beri peluang pengembangan pelaburan, ekonomi negara
RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
SJKP: 76,664 permohonan diluluskan bernilai RM17.86 bilion
Daripada jumlah itu, sebanyak 68,594 permohonan adalah daripada kalangan belia berusia 40 tahun ke bawah.
Pengairan & saliran: RM55 juta diperuntukkan selenggara sistem seluruh negara
Mohamad Sabu berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM14.8 juta disalurkan khusus ke negeri-negeri di Pantai Timur.
Agromakanan: KPKM rangka program baharu lonjak pengkomersialan produk
Inisiatif itu bertujuan mengurangkan kegagalan antara fasa prapengkomersial dan pengkomersialan, selain meningkatkan tahap kesediaan produk hasil penyelidikan dan pembangunan untuk menembusi pasaran.
BNM dijangka kekalkan OPR pada 3.0 peratus
Persekitaran kadar faedah yang stabil menyokong ekonomi untuk berkembang dengan memberikan perniagaan dan pengguna kepastian yang lebih dalam merancang kewangan dan mengakses kredit.

Tiada keputusan, laporan Malaysia terkait kes penipuan cip AI Nvidia - Tengku Zafrul
Tiada keputusan ataupun laporan yang menunjukkan cip AI Nvidia dalam pelayan dipindahkan ke Malaysia dari Singapura sebagaimana yang didakwa.