Mahkamah tolak rayuan bekas penghantar makanan rogol kanak-kanak

Bernama
Ogos 5, 2024 08:50 MYT
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan Muhammad Nur Hidayat Md Selliman, 31, untuk mengurangkan hukuman penjara dan sebatan itu. -Gambar hiasan/Freepik
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang bekas penghantar barang yang merogol seorang murid darjah enam di sebuah hotel bajet, empat tahun lepas.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan Muhammad Nur Hidayat Md Selliman, 31, untuk mengurangkan hukuman penjara dan sebatan itu.
Dalam penghakiman bertulis bertarikh Julai 31 lepas yang dimuat naik di laman web kehakiman, Hakim Azmi berkata Muhammad Nur Hidayat telah mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak-kanak berumur 11 tahun ketika itu untuk melampiaskan nafsunya tanpa rasa bersalah atau simpati.
Beliau berkata kesalahan serius dan perbuatan keji itu perlu dihukum setimpal untuk melindungi golongan kanak-kanak daripada sering menjadi mangsa mudah jenayah seksual.
"Pada hemat kami, perayu sebagai seorang dewasa dan matang pemikirannya pasti dapat memikirkan bahawa perbuatan liarnya itu bukan sahaja akan berakhir dengan kemudaratan dan bencana pada dirinya sahaja, tetapi yang lebih menyedihkan ia telah mencemar kesucian, kehormatan dan maruah mangsa sendiri," katanya.
Beliau berkata hukuman keras tersebut bukan sahaja berbentuk pencegahan kepada perayu tetapi juga sebagai peringatan buat orang awam, sekali gus menunjukkan keseriusan mahkamah menangani dan membanteras jenayah jijik itu daripada berterusan.
Muhammad Nur Hidayat didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Johor pada 21 Disember 2022 kerana merogol kanak-kanak itu di sebuah hotel di Batu Pahat, Johor pada 2.30 petang, 20 November 2020.
Dia dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan, serta diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan selain diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani pemenjaraan.
Pada 22 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Muar menolak rayuan Muhammad Nur Hidayat terhadap sabitan dan hukuman serta mengekalkan perintah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, sebelum lelaki itu menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap hukuman sahaja.
-- BERNAMA
#Mahkamah Rayuan #murid Darjah Enam #penghantar makanan #rogol kanak-kanak #Muhammad Nur Hidayat Md Selliman