Mahkamah tolak permohonan Zahid Hamidi dapatkan pasport
Umavathi Ramayah
Februari 3, 2023 11:00 MYT
Februari 3, 2023 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan semula pasport peribadi secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi di luar negara.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan dokumen peribadi Presiden UMNO itu dikeluarkan sementara bagi membolehkan beliau membuat permohonan untuk mendapatkan pasport diplomatik.
Collin Lawrence memberitahu, keputusan itu adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan mahkmah bertindak adil dan saksama kepada semua tertuduh.
“Prosiding mahkamah adalah sama bagi semua tertuduh, tidak kira status mereka.
“Maka dengan ini mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tertuduh untuk mendapatkan pasport peribadi secara kekal,” kata beliau, di sini, pada Jumaat.
Hakim Collin Lawrence berkata demikian dalam permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal atas alasan penahanan dokumen perjalanan itu oleh mahkamah telah menghalangnya menjalankan tugasnya.
Collin Lawrence menambah, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu perlu menyerahkan semula pasport peribadi beliau setelah membuat permohonan pasport diplomatik.
Sebelum ini, peguam Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memberitahu, permohonan itu adalah seperti dalam afidavit sokongan difailkan anak guam pada 20 Januari lalu dan pasukan pendakwaan juga tidak membantah perkara itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob turut mengesahkan pihaknya, tidak membantah permohonan berkenaan.
Pasport diplomatik dikeluarkan untuk konsul, diplomat atau pihak berkaitan untuk perjalanan berkaitan urusan rasmi.
Pemegang pasport diplomatik tidak bermakna mempunyai imuniti sebagai diplomatik, sebaliknya, perlu mendapatkan visa seperti individu lain.
Sementara pasport peribadi yang juga disebut sebagai pasport pelancong dikeluarkan kepada mereka yang merancang untuk melakukan perjalanan ke luar negera.
Pada 20 Januari lalu, Ahmad Zahid membuat permohonan itu dengan niat baik yang hanya bertujuan memohon kebenaran bagi pelepasan pasport antarabangsa supaya dapat menjalankan tugas rasmi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.
Daripada 47 pertuduhan itu, 12 pertuduhan merupakan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.