Mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman TPPA dikemukakan 3 NGO
Rahimah Abdullah
Januari 12, 2016 15:55 MYT
Januari 12, 2016 15:55 MYT
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghalang kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Hakim, Datuk Hanipah Farikullah memutuskan perkara itu berikutan perjanjian berkenaan belum ditandatangani pihak kerajaan.
Permohonan semakan kehakiman dikemukakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim; Presiden Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas Malaysia), Nurfitri Amir Muhammad, dan Naib Presiden Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (Teras), Ahmad Tarmizi Sulaiman.
Ketiga-tiga NGO itu diwakili peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Permohonan semakan kehakiman ke atas TPPA difailkan pada 4 Nov tahun lalu dengan menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Menurut afidavit bagi menyokong permohonan tersebut, pihak pemohon mendakwa proses rundingan telah dimuktamadkan dan perbahasan mengenai TPPA di Parlimen akan menjadi akademik.
Pemohon turut mendakwa pembentangan tersebut hanya tertumpu kepada sama ada Malaysia perlu menandatangani perjanjian tersebut atau tidak tanpa sebarang cadangan pindaan.
Dalam pada itu, Mohamad Raimi yang ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya dan dua NGO terlibat akan meneruskan usaha membantah untuk menghalang kerajaan menandatangani TPPA.
"Keputusan ini suatu yang mengejutkan, namun kita akan menunggu penghakiman bertulis dan kita akan berbincang dengan peguam tindakan seterusnya. Bagaimanapun, ABIM dan NGO-NGO lain akan terus membantah TPPA.
"Kita harap keputusan ini bukan langkah ke belakang tetapi menguatkan lagi usaha kita untuk mengenal pasti melalui kajian, wacana, dan data akan beri kesan perbincangan akan memberikan kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi kita pada masa hadapan," ujar beliau.
Pada masa sama, katanya, bantahan aman ke atas TPPA pada 23 Januari ini akan tetap diteruskan bagi mendesak kerajaan untuk membatalkan hasrat menandatangani perjanjian itu.
#ABIM
#bantahan TPPA
#kerajaan malaysia
#Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
#Teras
#TPPA
#Unggas Malaysia