Mahkamah tolak permohonan Najib, anak lelaki tangguh prosiding bankrap

Bernama
Julai 29, 2024 13:57 MYT
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka kerana gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing iaitu RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka kerana gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing iaitu RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
Perkara itu disahkan oleh peguam mereka Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang berlangsung dalam kamar.
"Permohonan hari ini adalah untuk menangguhkan prosiding kebankrapan bagi membolehkan pendengaran di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan berjalan dahulu. Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar Kamarul Aris Kamalluddin tidak membenarkan permohonan kami.
"Kami akan mengemukakan rayuan secepat mungkin," kata beliau sambil menambah bahawa setakat ini, tiada pengisytiharan bankrap dan hanya notis kebankrapan dikeluarkan kepada anak guamnya.
Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan kedua-dua beranak itu perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap mereka.
Najib dan anak lelakinya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman terus dalam kes tunggakan cukai terhadap mereka.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Dua Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan anak lelakinya bagi tempoh 2011 dan 2017.
Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada September 2021 bagi mengetepikan penghakiman terus.
Pada 10 Mei 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan.
-- BERNAMA
#Najib Razak #Mahkamah Tinggi #tolak permohonan #tangguh prosiding bankrap #Mohd Nazifuddin