Mahkamah tolak permohonan jaminan pegawai polis didakwa bunuh pelajar

Abd Razak Mohd Ali
September 5, 2024 11:50 MYT
Mohd Nazri didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif pada 15 Disember lalu. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis menolak permohonan jaminan seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang pelajar sekolah dengan melanggar motosikal ditunggang remaja itu, Disember tahun lalu.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan jaminan seorang pegawai polis, Mohd Nazri Abdul Razak, yang didakwa membunuh seorang pelajar dengan melanggar motosikalnya pada Disember tahun lalu.
  • Hakim menyatakan tiada alasan luar biasa untuk membenarkan jaminan, dan berdasarkan naratif, terdapat sebab untuk mempercayai adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun.
  • Peguam tertuduh berhujah bahawa tiada motif untuk membunuh, namun pendakwa menegaskan bahawa isu motif dan keselamatan akan dibincangkan semasa perbicaraan, bukan ketika permohonan jaminan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet ketika membuat keputusan berkata, tiada alasan luar biasa untuk membenarkan permohonan jaminan itu.
Menurutnya, berdasarkan daripada naratif, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mohd Nazri Abdul Razak, 45, pegawai berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 11.45 pagi hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pada prosidin hari ini, peguam Jacky Loi Yap Loong yang mewakili Mohd Nazri memberikan beberapa hujah untuk menyokong permohonan mereka, antaranya dari segi keselamatan keluarga dan tertuduh terancam.
Di samping itu, katanya, tertuduh tidak mengenali mangsa dan tiada motif serta niat untuk membunuhnya.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dalam hujah balasnya berkata, isu keselamatan tidak timbul ketika ini dan tertuduh tidak mengenali mangsa juga tidak relevan kerana yang penting ada berlaku kematian.
Menurutnya, soal motif ketika ini tidak timbul kerana ia akan ditentukan ketika perbicaraan, bukannya ketika permohonan jaminan.
Selain Afzainizam, pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh turut diwakili peguam Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong and M. Kuhan.
Turut hadir peguam pemerhati keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid.
#pegawai polis #langgar pelajar #keputusan mahkamah #dakwaan bunuh pelajar
;